Pemuda kronik sakit buah pinggang semangat berpuasa

Muhafandi Muhamad
April 24, 2021 09:08 MYT
Semenjak dikesan mengalami kerosakan buah pinggang tujuh tahun lalu, Handzalah Zulqarnain, tabah menjalani ibadat puasa setiap kali Ramadan selama mengidap penyakit berkenaan. - Astro AWANI
KOTA BHARU: Walaupun menderita sakit akibat kegagalan buah pinggang tahap kronik, seorang pemuda berusia 20 tetap bersemangat untuk berpuasa.
Semenjak dikesan mengalami kerosakan buah pinggang tujuh tahun lalu, Handzalah Zulqarnain, tabah menjalani ibadat puasa setiap kali Ramadan selama mengidap penyakit berkenaan.
Ibunya, Norhazaini Mahmud, berkata anak kedua dari enam adik beradik itu kini tidak dapat berjalan dan memerlukan cucian buah pinggang empat kali sehari.
"Memang sepanjang dia sakit tidak pernah tinggal puasa, sejak sakit sampai hari ini selalu puasa. Jauh beza, dahulu boleh tengok dia berjalan juga tetapi sekarang hanya duduk di dalam bilik sahaja.
"Dia kurung diri sejak tidak boleh berjalan, semasa sekolah dia keluar lagi, semasa itu berusia 17 tahun, sekarang 20 tahun dia hanya keluar bila ada temu janji di hospital," katanya.
Handzalah sebelum ini merupakan seorang pelajar cemerlang di Sekolah Arab Maahad Muhammadi, Kota Bharu namun disebabkan penyakitnya, dia tidak dapat bersekolah.
Apa yang menyedihkan, ayahnya Zulqarnain Mokhtar tidak dapat menyediakan bilik dan katil khas untuknya kerana kesempitan hidup.
Ayahnya hanya seorang tukang besi yang perlu menyara lima lagi anak yang lain.
Handzalah menjelaskan, dia bersekolah sehingga tingkatan lima sebelum berhenti kerana tidak boleh berjalan.
Mereka lima beranak menyewa di sebuah rumah yang sudah uzur bahkan bilik Handzalah juga serba daif.
Ibunya turut berharap, ada sinar buat anaknya untuk kembali ceria seperti rakan-rakannya.
#puasa #sakit kronik #kegagalan buah pinggang #kronik #Handzalah Zulqarnain #ramadan2021
;