Pemuda hilang tiga hari ditemukan mati dalam parit

Sinar Harian
September 17, 2023 19:40 MYT
Anggota bomba membantu mengeluarkan mayat mangsa yang ditemui mati di dalam parit di Kampung Parit Lapis Sempadan, Parit Raja pada pagi Ahad. - Foto JBPM
BATU PAHAT: Seorang pemuda yang dilaporkan hilang sejak tiga hari lalu ditemui dalam keadaan terapung di dalam parit sempadan darat, Kampung Parit Lapis Sempadan, Parit Raja di sini pada pagi Ahad.
Mayat dipercayai Muhammad Nazrul Aziz, 20, ditemukan oleh penduduk kampung bersama motosikalnya kira-kira jam 11.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner, Ismail Dollah berkata, mayat mangsa ditemukan dengan keadaan lengkap berpakaian.
"Sepasukan anggota bomba dan penyelamat diketuai Ketua Balai Bomba Ayer Hitam, Mohd Shamin Mohd Salikin membantu mengeluarkan mayat mangsa dan motosikalnya.
"Berdasarkan pengecaman awal keluarga melalui pakaian, jam, telefon bimbit dan motosikal mayat dipercayai Muhammad Nazrul Aziz dari Parit Raja.
"Muhammad Nazrul dilaporkan keluar rumah pada petang Khamis lalu. Berdasarkan keadaan mayat yang ditemui, mangsa telah mati lebih daripada sehari," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Menurut Ismail, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail untuk bedah siasat.
*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian
#pemuda hilang #mayat terapung #Polis Batu Pahat #ditemui dalam parit
;