Pemuda hilang selepas keluar rumah di Bukit Jambul sejak Sabtu

Bernama
Ogos 19, 2024 19:50 MYT
Jusfaridan berkata semasa keluar dari rumah pada hari kejadian anaknya itu memakai baju-T dan berseluar hitam, dan menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR dengan nombor pendaftaran PRF 704. - Foto Sinar Harian
GEORGE TOWN: Keluarga kepada Muhammad Danish Syamil Jusfaridan, 21, memohon kerjasama orang ramai untuk membantu mengesan pemuda itu yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah di Bukit Jambul, di sini Sabtu lepas.
Bapanya, Jusfaridan Azizat, 48, berkata anak sulung daripada dua beradik itu keluar dari rumah di Bukit Jambul dan dikatakan mahu ke Nibong Tebal untuk berjumpa rakan namun tidak pulang hingga hari ini, malah telefon bimbitnya juga gagal dihubungi.
''Kami juga sudah hubungi rakan-rakannya tetapi mereka tidak tahu di mana anak saya berada. Ini kali pertama Muhammad Danish tidak pulang ke rumah dan gagal dihubungi dalam tempoh yang lama," katanya ketika dihubungi hari ini.
Jusfaridan berkata dia telah membuat laporan polis berhubung kehilangan Muhammad Danish pada kira-kira 12 tengah malam tadi dan berharap anaknya itu dapat ditemui segera.
Dia berkata semasa keluar dari rumah pada hari kejadian anaknya itu memakai baju-T dan berseluar hitam, dan menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR dengan nombor pendaftaran PRF 704.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Muhammad Danish mohon hubungi saya di talian 012-5351349 atau pergi ke balai polis berhampiran," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Razlam Ab Hamid ketika dihubungi Bernama mengesahkan menerima laporan berhubung kehilangan pemuda tersebut dan usaha mengesannya giat dijalankan.
-- BERNAMA
#Muhammad Danish Syamil Jusfaridan #pemuda hilang #bukit jambul #Jusfaridan Azizat
;