Pemuda Harapan gusar pakatan itu menerima saki-baki pembangkang
Ibrahim Sani
Disember 17, 2018 16:00 MYT
Disember 17, 2018 16:00 MYT
Pemuda Pakatan Harapan mengingatkan kerajaan agar jangan lupakan mandat rakyat yang diberikan pada Pilihanraya Umum (PRU14) yang lepas.
Melalui kenyataan yang dikeluarkan bersama oleh Ketua Pemuda bagi keempat-empat parti komponen Pakatan, mereka sebulat suara menyatakan bahawa apa sahaja penerimaan keahlian daripada pihak pembangkang harus dilaksanakan dengan teliti.
Kenyataan persepakatan itu dikeluarkan oleh Ketua Pemuda Pakatan Harapan yang juga Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersama-sama Timbalan Ketua Pemuda Pakatan Harapan, Mohd Sany Hamzan (Ketua Pemuda Amanah), Akmal Nasrullah (Ketua AMK PKR) dan Howard Lee (Ketua Pemuda DAP) pada Isnin.
"Pemuda Pakatan Harapan mengambil pendirian tegas dan serius dalam isu ini. Tindakan anggota pembangkan tidak boleh sama sekali memperlekehkan semangat dan mandat rakyat di dalam PRU14.
"Pemuda mengusul dan menggesa pimpinan Pakatan Harapan untuk melakukan semakan tegas dan menyaring dengan ketat terhadap mana-mana individu yang ingin menyertai Pakatan Harapan," kata kenyataan itu lagi.
Walaupun demikian, kenyataan yang dikeluarkan mereka tidak menyatakan yang mereka membangkang dan membantah kemasukan anggota pembangkang ke dalam Pakatan Harapan.
Kenyataan itu juga tidak menyatakan apakah tindakan yang mereka ingin lakukan sekiranya pihak atasan Pakatan Harapan tidak menghiraukan kenyataan mereka.
#akmal nasrullah
#Amanah
#DAP
#Howard Lee
#Keadilan
#kerajaan
#Pakatan Harapan
#pembangkang
#pemuda
#PKR
#PRU14
#sany hamzan
#Syed Saddiq