Pemuda ditemui dalam keadaan tergantung, dipercayai bunuh diri

Syah Hairizal Kamalul Arifin
Februari 13, 2021 15:31 MYT
Pasukan forensik Hospital Labuan yang hadir di lokasi kejadian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia. - Gambar fail
KOTA KINABALU: Seorang lelaki berusia 24 tahun disahkan mati selepas dipercayai menggantung diri di beranda biliknya pada Jumaat.
Pemangku Ketua Polis Daerah Labuan, DSP Mohd Ibrahim Mohd Ghani yang mengesahkan kejadian berkata, mangsa disyaki membunuh diri dengan menggantung diri di kediamannya di Kampung Pohon Batu, Labuan.
"Pada 9.35 pagi (Jumaat) Polis Labuan telah menerima laporan berkaitan seorang lelaki disyaki membunuh diri dengan menggantung diri di kediamannya di sebuah taman perumahan.
"Pasukan polis yang menjalankan siasatan di lokasi kejadian mendapati mayat lelaki yang berusia 24 tahun dan warga tempatan itu didapati telah diturunkan dan terdapat tali yang dipercayai digunakan mangsa masih kelihatan tergantung di pagar pintu belakang bahagian tingkat atas rumah tersebut," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu.
Jelasnya, pasukan forensik Hospital Labuan yang hadir di lokasi kejadian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.
Tiada sebarang kecederaan fizikal ditemui pada badan mangsa dan mayatnya dihantar ke hospital untuk bedah siasat.
"Kali terakhir mangsa dilihat oleh ahli keluarga pada Khamis, kira-kira jam 9.30 malam.
"Punca kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat sebagai laporan mati mengejut," katanya.
#bunuh diri #Labuan #gantung diri #polis #PDRM
;