Pemuda dipenjara lapan tahun sebabkan kematian bayi teman wanita
Shuhada Abdul Kadir
Mei 17, 2024 16:15 MYT
Mei 17, 2024 16:15 MYT
AYER KEROH: Seorang pemuda dijatuhi hukuman penjara lapan tahun oleh Mahkamah Tinggi Ayer Keroh, hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian bayi lelaki yang baru dilahirkan teman wanitanya, tiga tahun lalu.
Tertuduh, Ahmad Shamil Ashraf Zainudin, 22, dijatuhi hukuman itu sejurus membuat pengakuan bersalah atas satu pertuduhan pilihan yang dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Mohd Radzi Abdul Hamid.
Mohd Radzi dalam hujahan penghakimannya memaklumkan perbuatan dilakukan tertuduh amat tragis dan hukuman dijatuhkan adalah setimpal.
Mengikut pertuduhan pilihan, tertuduh didapati telah melakukan satu homosid mematikan orang dengan salah yang tidak terjumlah kepada kesalahan membunuh ke atas seorang bayi lelaki yang baru dilahirkan oleh teman wanitanya yang ketika itu berusia 18 tahun.
Perbuatan itu dilakukan di kawasan semak berhampiran sebuah pusat asuhan kanak-kanak di daerah Melaka Tengah antara pukul 12.01 pagi hingga 10.30 malam 29 Mac 2021 lalu.
Justeru tertuduh yang sewaktu kejadian baru berusia 19 tahun didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun atau denda.
Berdasarkan fakta kes, pengadu seorang pegawai perubatan di Hospital Melaka telah menerima kes kecemasan seorang wanita iaitu teman wanita tertuduh yang mengalami pendarahan di kemaluan kerana bersalin di rumah.
Wanita itu kemudian memaklumkan bayi itu telah dibuang oleh teman lelakinya di kawasan semak di Telok Mas dan bayi itu hidup sewaktu dilahirkan.
Doktor pakar berpendapat, tindakan ibu bapanya bayi berkenaan yang membuangnya di kawasan tidak sepatutnya menyebabkan kebarangkalian paru-paru bayi lelaki itu merosot dan membawa kepada kematian akibat 'congenital pneumonia'.
Hasil bedah siasat mendapati, bayi berkenaan tidak mempunyai kecederaan akibat luka tajam atau akibat benda tumpul atau kecederaan lain.
Terdahulu, Peguam tertuduh, M Vinodharan memohon hukuman penjara yang rendah kerana ia adalah adalah kesalahan pertama anak guamnya selain telah insaf dan tidak akan mengulangi kesalahan sama di masa hadapan.
Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Nabilalif Mohd Rosli bagaimanapun memohon hukuman setimpal kerana perbuatannya meletakkan bayi berkenaan di kawasan semak bertujuan mengelak ia dikesan orang ramai.
Selepas mendengar hujahan kedua pihak, mahkamah kemudian menetapkan hukuman penjara selama lapan tahun bermula dari tarikh ditangkap pada 29 mac 2021 lalu.
#pemuda dihukum penjara
#sebabkan kematian
#bayi teman wanita
#Mahkamah Tinggi Ayer Keroh
#Ahmad Shamil Ashraf Zainudin