Pemuda didakwa rogol adik angkat berusia 14 tahun
Raffi Bachik
Mac 13, 2018 15:10 MYT
Mac 13, 2018 15:10 MYT
Padah merogol adik angkat berusia 14 tahun pada enam tahun lalu, seorang pemuda dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini.
Tertuduh, Lee Yuan Huei, 22 tahun yang memakai baju T berwarna kelabu gelap, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Norma Ismail.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol seorang remaja perempuan yang ketika itu berusia 14 tahun di sebuah rumah di Taman Seri Krubong dalam daerah Melaka Tengah sekitar 2 petang, pada Disember 2012.
Bagi kesalahan itu, tertuduh yang bekerja sebagai pekerja pendawaian didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.
Terdahulu pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Ruvinna Mohd. Rawi memohon agar jaminan tidak dibenarkan dengan mengambil kira hubungan kekeluargaan antara mangsa dan tertuduh yang tinggal serumah dengan keluarga angkat ketika kejadian.
Selain itu, tertuduh juga hanya berjaya dihadapkan ke mahkamah pada tahun ini walaupun waran tangkap telah dikeluarkan pada 14 julai 2013.
Pihak pendakwa juga bimbang tertuduh akan mengganggu mangsa memandangkan wanita itu adik angkatnya, selain saksi-saksi pendakwaan yang lain.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu jaminan rendah dibenarkan dengan alasan menanggung keluarga termasuk ibu dan seorang anak hasil hubungan bersama mangsa.
Tambahnya, dia juga merancang untuk berkahwin dengan mangsa pada tahun hadapan berikutan menunggu umur mangsa genap 21 tahun.
Selepas mendengar rayuan kedua-dua pihak, Norma membenarkan ikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin, namun jaminan itu akan ditarik serta-merta sekiranya mahkamah mendapati tertuduh mengganggu mangsa.
Beliau turut memerintahkan tertuduh untuk melapor diri di balai polis berdekatan sehingga sebutan semula kes pada 12 April depan.