Pemuda dan tunang didakwa edar dadah, berdepan hukuman mati

Astro Awani
Mac 3, 2021 18:16 MYT
Tertuduh, Mohamad Amirul Aliff Mat Jusoh 22 tahun berdepan dengan tujuh pertuduhan manakala pasangannya Nurin Rasyiqah Adabiah Mat Ideris, 21, berdepan dengan dua pertuduhan. - Foto Astro AWANI
KUALA TERENGGANU: Seorang pemuda bersama tunangnya dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, di sini hari ini kerana mengedar dan memiliki dadah jenis methamphetamine, heroin dan kodien.
Tertuduh, Mohamad Amirul Aliff Mat Jusoh, 22, berdepan dengan tujuh pertuduhan manakala pasangannya Nurin Rasyiqah Adabiah Mat Ideris, 21, berdepan dengan dua pertuduhan.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Mohamad Amirul Aliff didakwa mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine masing-masing seberat 1,797.7 gram dan 833.7 gram di belakang rumah di Jalan Jambu Bongkok, Kampung Jambu Bongkok, Marang pada jam 1.10 pagi pada 20 Februari lalu.
Bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa mengedar dadah jenis heroin dengan berat 1,096.8 gram di lokasi, masa dan tarikh sama.
Bagi setiap kesalahan itu, dia yang didakwa mengikut Seksyen 39b (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan disebat tidak kurang 15 sebatan jika tidak dihukum mati.
Jenayah | Sepasang tunang dicekup bersama pelbagai jenis dadah
Selain itu dia turut berdepan dua pertuduhan mengikut Seksyen 39b(1)(a) kerana mengedar dadah jenis methamphetamine dengan berat 152.1 gram dan 65.3 gram di tepi jalan kawasan Kampung Jambu Bongkok, Marang jam 1 pagi hari yang sama.
Tertuduh lelaki berkenaan turut berdepan dua lagi pertuduhan yang dibacakan bersama dengan tunangnya.
Berdasarkan pertuduhan mereka didakwa secara bersama mengikut seksyen 39b(1)(a) kerana mengedar dadah jenis methamphetamine dengan berat kasar 102.1 gram.
Pasangan itu juga didakwa memiliki dadah berbahaya jenis kodein berjumlah 4.5 liter.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan Jambu Bongkok, Kampung Jambu Bongkok, Marang pada masa dan tarikh sama.
Bagi kesalahan itu, mereka yang didakwa mengikut seksyen 12(2) akta sama berdepan hukuman denda RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan dan Majistret Noor Mazrinie Mahmood menetapkan 9 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes di Mahkamah Majistret Marang.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nabihah Hanin Ayim manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Sebelum ini media mela­porkan hasrat sepasang tunang untuk mendirikan rumah tangga terbantut selepas kedua-dua mereka dicekup bersama pelbagai jenis dadah yang bernilai lebih RM500,000.
Pasangan yang berusia 21 dan 22 itu diberkas di rumah sewa mereka di Kampung Jambu Bongkok, Marang.
#pemuda dan tunang edar dadah #Mahkamah Majistret Kuala Terengganu #berdepan hukuman gantung #Mohamad Amirul Aliff Mat Jusoh #Kuala Terengganu #Nurin Rasyiqah Adabiah Mat Ideris #Dadah
;