Pemuda cemas paras air meningkat, selamatkan diri atas bumbung kereta

Nur Fazlizai Ali
November 28, 2017 17:37 MYT
Salah seorang pemuda menyelamatkan diri dengan duduk di atas bumbung kereta selepas terperangkap dalam banjir di Kampung Alor Wan Syed, Marang. - Gambar Astro AWANI.
"Selepas berjaya menyelamatkan diri melalui tingkap, kami duduk di atas bumbung kereta sebelum menunggu bantuan tiba.
"Sepanjang menunggu bantuan kami tidak putus berdoa agar pasukan penyelamat segera menemui kami memandangkan air naik terlalu cepat."
Itu merupakan cerita cemas yang dikongsikan Muhammad Syahir Aqil Rosman, 20 kepada wartawan Astro AWANI ketika ditemui pada Selasa.
Muhammad Syahir Aqil berkata, ketika kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, dia bersama seorang lagi rakannya Muhammad Zulfaqar Zahari, 18 dalam perjalanan dari Kuantan menuju ke Pulau Kerengga, di sini.
Menurutnya, tiada tanda amaran diletakkan pada jalan tersebut hingga memaksa dia meneruskan perjalanan di laluan itu di Kampung Alor Wan Syed, Marang.
"Ketika itu hujan lebat dan saya telah terlanggar lapok air sebelum dihanyutkan arus deras dan terjatuh ke dalam parit.
"Saya cuba mengawal kenderaan dan mahu berpatah balik namun arus sangat deras hingga menghanyutkan kereta saya sebelum tersangkut pada pokok," katanya.
Menceritakan lanjut, Muhammad Syahir Aqil berkata, selepas dihanyut kira-kira lima meter, enjin kereta juga telah tidak berfungsi hingga menyukarkan mereka untuk membuka tingkap kenderaan.
Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Wakaf Tapai, Suriati Ariffin berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pada 7 pagi sebelum dia bersama lima anggota bergegas ke lokasi kejadian untuk menyelamatkan mangsa.
Kata beliau, pihaknya terpaksa meredah laluan sejauh 500 meter untuk menyelamatkan mangsa berikutan jalan berkenaan dinaiki air selain keadaan arus deras.
"Ketika sampai kedua-dua mangsa berada diatas bumbung kereta dan kita terus menghulurkan jaket keselamatan sebelum membawa mereka ke kenderaan bomba yang ada di tepi jalan," katanya.
#air #banjir #bomba #Kampung Alor Wan Syed Marang #kereta #keselamatan #mangsa #Marang #paras air #pemuda #Pemuda terperangkap #Pulau Kerengga #terengganu
;