Pemuda cadang sepuluh perkara

Haider Yutim
November 28, 2012 15:59 MYT
Pergerakan Pemuda Umno hari ini mengemukakan sepuluh cadangan kepada kerajaan ketika ketuanya Khairy Jamaluddin menyampaikan ucapan dasar sayap itu.
Sepuluh cadangan itu meminta agar kerajaan:
1. Agenda memperkasa anak muda turut dipikul syarikat-syarikat dengan syarat tertentu.
2. Syarikat-syarikat yang menjana pekerjaan anak muda diberi pelepasan cukai.
3. Usahawan tempatan diutamakan melalui kempen Beli Barangan Malaysia.
4. Pengagihan wang zakat yang menyeluruh.
5. Beri peluang anak muda jawat jawatan lembaga pengarah agensi dan GLC.
6. Beri peluang kedua kepada golongan muflis melalui rombakan syarat dan prosedur
7. Kuota khas untuk keluarga muda dalam projek rumah PR1MA.
8. Pengstrukturan semula dasar kebajikan.
9. Menggesa kerajaan teruskan transformasi politik.
10. Memudahkan ribuan golongan muda memiliki lesen melalui inisiatif baru Bantuan Lesen 1Malaysia
Selain itu, Khairy juga mengumumkan penubuhan akademi latihan kepimpinan untuk Pemuda Umno.
“Demi membantu latihan generasi pelapis ini, saya mengumumkan hasrat kita membina satu akademi khusus untuk Pemuda UMNO, yang bakal diberi nama sempena Ketua Pemuda yang pertama, Akademi Kepimpinan Kapten Hussein (AKHI).
“Saya impikan penubuhan akademi ini di Sabah, negeri yang mana walaupun bongsu dari segi penubuhan UMNO, tetapi telah menjadi antara kubu kuat parti kita,” kata beliau di hadapan perwakilan Pemuda Umno hari ini.
Beliau juga mencadangkan agar lebih ramai golongan muda dicalonkan dalam pilihan raya akan datang bagi meraih sokongan dari kumpulan berkenaan.
“Kita yang paling dekat dengan orang muda, kita yang bergaul dengan mereka. Kita yang berada di barisan hadapan memperjuangkan kebajikan anak muda, tidak kira walau di Parlimen, di belakang tabir, di depan tabir, di mana sahaja demi memastikan setiap dasar Kerajaan adalah dasar yang mesra orang muda,” tegas beliau.
Katanya lagi, golongan muda telah bersedia untuk memikul tampuk kepimpinan, namun tanggungjawab tersebut mestilah mewakili aspirasi golongan muda.
Ucapan ketua Pemuda tadi turut disahut oleh beberapa perwakilan, antaranya dari Pengerusi Unit Media Baru Pemuda Umno, Tun Faisal Ismail Aziz yang juga merupakan perwakilan Putrajaya.
Beliau menyifatkan ucapan tersebut sebagai satu ucapan yang menyeluruh yang mengambil kira perhimpunan agung yang terakhir sebelum pilihan raya.
“Apa yang kita nampak daripada ucapan ini adalah penerusan daripada politik khidmat Pemuda Umno, iaitu apa yang pemuda pernah buat sebelum ini melalui pelbagai program yang bermula daripada BN Youth Lab.
“Idea-idea yang keluar dari BN Youth Lab itu adalah idea yang rapat dengan gologan-golongan muda, keluhan-keluhan golongan muda, yang diterjemahkan dalam bentuk program-program,” kata beliau ketika ditemui Astro Awani.
Tun Faisal juga mengulas tentang cadangan Khairy untuk mengetengahkan pemimpin pemuda sebagai calon dalam pilihanraya akan datang.
Beliau berkata kepimpinan dalam sayap itu telah dilatih dari peringkat cawangan lagi sehinggalah ke peringkat tertinggi atau nasional.
“Inilah latihan yang dilalui oleh pemimpin-pemimpin muda dan itulah yang akan mengukur samada mereka cukup bersedia atau cukup matang untuk menjadi wakil kawasan parlimen ataupun Dewan Undangan Negeri,” tambah Tun Faisal.
Perwakilan dari Gombak juga menyambut baik isi kandungan ucapan Khairy.
Hafiez Malik, yang juga penolong setiausaha Pemuda Umno Gombak berpendapat bahawa golongan pemuda memang sudah bersedia untuk menghadapi pilihanraya dan memegang tampuk kepimpinan.
“Memang kepimpinan pemuda sekarang dah bersedia untuk menghadapi pilihanraya dan untuk mentadbir negara sekiranya diberi peluang dan sepatutnya pun kepimpinan pemuda diberi peluang,” katanya.
Seorang lagi perwakilan dari Gombak, Abdul Rahman Abdullah berkata harapan beliau adalah supaya kerajaan dapat mempertimbang untuk memberi peluang kedua kepada indvidu-individu muda yang telah disenarai hitam atau muflis.
Mengulas tentang saranan Khairy untuk mengetengahkan pemimpin muda, beliau berkata, “Bagi saya cabaran untuk mengambil tampuk kepimpinan memang boleh disahut kerana bagi saya kita memang dah lama bersedia.”
Sementara itu, ketua pemuda Umno Bahagian Jerlun, Mohammad Khairi Ahmad pula berkata ucapan Khairy cukup baik kerana ia merangkumi pelbagai aspek terutamanya ekonomi dan politik.
Tambah beliau, ucapan tersebut memberi semangat positif kepada anggota Pemuda Umno untuk bergerak lebih maju dalam pilihanraya akan datang,
#KHAIRY #PAU2012 #pemuda #UMNO
;