Pemuda 'bom' ibu bapa terima balasan, ibarat 'menggigit tangan yang memberi makan'
Muhafandi Muhamad
Januari 18, 2018 18:26 MYT
Januari 18, 2018 18:26 MYT
Selepas tiga tahun, tindakan seorang anak 'meletupkan ' ibu bapa angkatnya sehingga mati, akhirnya menemui balasannya apabila Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun terhadapnya.
"Perbuatan kejam dan tidak boleh dimaafkan", kata Hakim Datuk Ahmad Bache yang mengibaratkan tindakan tertuduh seperti “menggigit tangan yang memberi makan”.
Sebelum itu, tertuduh, Cha Woon Fui, 29 tahun yang didakwa terhadap tuduhan membunuh, mengaku salah terhadap tuduhan pilihan iaitu menyebabkan kematian di mahkamah sama pada 9 Januari 2017.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan kematian Cha Mok Liong, 72 tahun, dan isterinya, Fong Ah Fong, 72 tahun, di Kilometer 10 Jalan Gua Musang - Pulai, dekat Kampung Pulai, Gua Musang, jam 9.10 pagi, 7 Oktober 2015.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 30 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Shaharaliza Ab Razak, manakala tertuduh diwakili peguam yang dilantik mahkamah Cheah Poh Loon.
Terdahulu Poh Loon dalam mitigasi memohon hukuman berjalan serentak berikutan ketika kejadian itu satu bom yang digunakan menyebabkan dua kematian.
Tertuduh juga sudah insaf dengan kesalahannya dan mohon mahkamah memberi peluang kepadanya.
Bagaimanapun, Shaharaliza memohon hukuman berjalan berasingan dengan mengambil kira kepentingan awam dan keseriusan kes.
Bagaimanapun mahkamah menetapkan hukuman berjalan serentak dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu 7 Oktober 2015.
Sebelum ini media melaporkan sepasang suami isteri warga emas 'berkecai' selepas motosikal mereka diletupkan.
Mangsa dalam perjalanan ke kedai makan berhampiran untuk bersarapan dan tidak menyedari motosikal jenis Demak yang dinaiki dipasang bom.
Pasangan malang itu dalam perjalanan ke pejabat Lembaga Getah Malaysia untuk menyelesaikan beberapa urusan.
Siasatan awal, motif kejadian dipercayai berpunca daripada suspek yang tidak berpuas hati mengenai tuntutan harta.
#2015
#anak
#Anak angkat
#bom
#bom ibu bapa
#Gua Musang
#ibu bapa angkat
#Kota Bharu
#mahkamah
#Malaysia
#mangsa
#Media
#penjara
#siasatan
#suspek
#warga emas