Pemuda BN gesa kerajaan timbang semula hubungan diplomatik dengan Korea Utara
Bernama
Februari 23, 2017 20:02 MYT
Februari 23, 2017 20:02 MYT
Pemuda Barisan Nasional (BN) menggesa kerajaan Malaysia menimbang semula hubungan diplomatiknya dengan Korea Utara susulan tindakan negara itu yang terus mempertikai serta tidak menghormati undang-undang Malaysia.
Timbalan Pengerusinya Khairul Azwan Harun berkata gesaan itu mencerminkan rasa tidak puas hati dan kemarahan rakyat Malaysia apabila undang-undang negara ini dipertikai oleh pihak asing.
Katanya Kedutaan Korea Utara di Malaysia secara terang-terangan memfitnah Malaysia.
"Banyak kenyataan yang dikeluarkan (Korea Utara) mengandungi dakwaan yang serius serta tuduhan tidak berasas dengan membayangkan undang-undang kita mudah dicampuri dan dimanipulasi pihak asing, sekali gus tidak boleh dipercayai.
"Malaysia, sebagai sebuah negara berdaulat, tidak akan bertoleransi terhadap sebarang usaha untuk mengganggu gugat institusi, kepimpinan dan rakyatnya," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan nota bantahan dua muka surat kepada perwakilan kedutaan itu, di sini hari ini.
Beliau turut menggesa kerajaan Malaysia membatalkan perjanjian tanpa visa dengan Korea Utara.
"Kami juga ingin mengingatkan Kedutaan Korea Utara bahawa kedua-dua negara kita mendapat manfaat daripada hubungan diplomatik dan ekonomi ini," katanya.
Hubungan Malaysia dan Korea Utara menjadi tegang sejak bermulanya siasatan terhadap pembunuhan Kim Jong-nam.
Duta Korea Utara ke Malaysia Kang Chol terus-menerus mengutuk kerajaan Malaysia dan siasatan yang dijalankan oleh polis.
Beliau mendakwa polis hanya menyasarkan dan menyematkan syak wasangka terhadap warga Korea Utara serta menuduh Malaysia berpakat dengan Korea Selatan.
Pada 13 Feb lepas, Jong-nam yang merupakan abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia2) pada 8 pagi untuk menaiki penerbangan ke Macau apabila dua wanita didakwa menyapu muka mangsa dengan tangan mereka yang dipercayai telah disembur bahan beracun.
Jong-nam, yang memasuki negara ini dengan menggunakan pasport tertera nama Kim Chol, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.
-- BERNAMA