Pemuda bakar rumah pusaka sebab nampak 'hantu'

Sinar Harian
Julai 2, 2019 17:02 MYT
Api yang dipercayai bermula dari dalam rumah merebak sebelum pihak bomba tiba memulakan operasi pemadaman. -Foto Sinar Harian
Sebuah rumah kayu setingkat di Durian Guling, di sini, dipercayai dibakar dengan sengaja oleh seorang pemuda dikatakan pewaris rumah berkenaan yang mengalami sakit mental.
Kejadian disedari orang awam bertindak melaporkan kepada pihak berkuasa jam 11.39 pagi sebelum jentera bomba dari Balai Bomba Dan Penyelamat Wakaf Tapai tiba di tempat kejadian.
Pegawai operasinya, Pegawai Bomba Kanan I, Mohd Fauzi Mohd Yazid berkata sebaik pihaknya tiba, api yang dipercayai bermula dari dalam rumah merebak sebelum pihaknya memulakan operasi pemadaman.
"Siasatan anggota kita mendapati rumah itu dipercayai sengaja dibakar pemuda terbabit yang mendakwa rumah berkenaan ada 'hantu' dan panas berdasarkan pengakuan pemuda itu sendiri.
"Namun, punca sebenar kebakaran masih lagi disiasat dan pihak polis turut dipanggil ke lokasi kejadian untuk melakukan siasatan terhadap pemuda terbabit untuk tindakan selanjutnya," katanya, hari ini.
Menurutnya, operasi berjaya dikawal kira-kira jam 11.57 pagi dan anggaran kerugian sedang ditafsirkan.
Selain itu, rumah pusaka itu turut dipercayai dijadikan sebagai sarang penagihan dadah.
#Durian Guling #Mohd Fauzi Mohd Yazid #pewaris rumah #rumah ada hantu #rumah kayu #Sakit Mental #Wakaf Tapai
;