Pemuda autistik ditemui selamat oleh pemandu teksi
Sinar Harian
Disember 10, 2023 10:40 MYT
Disember 10, 2023 10:40 MYT
PAPAR: Lelaki autistik yang dilaporkan hilang akhirnya ditemui selamat di Kampung Benoni di sini pada malam Sabtu.
Muhd Nuh Ibrahim Mohd Eddie Bahrin, 24, ditemukan kira-kira jam 9 malam oleh seorang pemandu teksi sejauh kira-kira 35 kilometer dari dia dilaporkan hilang di Kampung Sumbiling Mogon di sini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Papar, Rozlan Osman berkata, susulan penemuan mangsa itu operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dilakukan di sekitar kampung segera ditamatkan.
"Operasi SAR telah dilakukan di kawasan kampung sebaik pasukan bomba menerima laporan daripada pengadu mengenai kehilangan anaknya.
"Bagaimanapun, pada jam 9.17 malam, abang mangsa datang ke balai bomba dan memaklumkan bahawa mangsa telah ditemui di sekitar Pusat Komersial Benoni (BCC) dalam keadaan selamat oleh seorang pemandu teksi," katanya pada Ahad.
Media pada Sabtu melaporkan seorang pemuda autistik disedari hilang pada jam 7 pagi Sabtu oleh ahli keluarganya.
Bagaimanapun, pasukan bomba hanya menerima laporan berhubung kehilangan mangsa pada jam 5.51 petang dan SAR segera dilakukan untuk mencari mangsa. - Sinar Harian