Pemuda alami masalah mental serang ibu bapa guna pisau

Dewi Nur Harasha Alias
Mei 11, 2021 12:41 MYT
Suspek yang berusia 29 tahun mengalami masalah mental sejak tahun 2016 sudah lebih setahun berkurung di dalam rumah tanpa bercakap dengan sesiapa. - Gambar PDRM
KEPALA BATAS: Seorang wanita terpaksa menerima 10 jahitan di bahagian tangan kiri setelah cedera akibat diserang anak lelakinya yang bersenjatakan dua bilah pisau dalam kejadian di rumah mereka di Taman Orkid Permai, di sini malam tadi.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 9.30 malam ketika mangsa dan suaminya sedang menunaikan solat Tarawih di ruang tamu rumah mereka.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, dalam kejadian itu, suspek yang sebelum itu sedang berkurung dalam bilik secara tiba-tiba keluar dan mengambil dua bilah pisau di dapur sebelum menyerang ibu bapanya.
“Suspek menghalakan pisau ke arah ibunya menyebabkan bapa suspek cuba menolak suspek bagi mengelak mereka dicederakan.
“Bagaimanapun, pisau tersebut terkena tangan kiri ibunya ketika wanita itu cuba menghalang perbuatan suspek,” kata Noorzainy dalam kenyataan pada Selasa.
Suspek yang berusia 29 tahun itu kemudiannya terjatuh sebelum berjaya dipegang oleh bapanya dan menghubungi polis.
Menurut Noorzainy, suspek tidak melawan ketika itu dan hanya mendiamkan diri, manakala mangsa dibawa ke Hospital Kepala Batas untuk menerima rawatan.
Noorzainy berkata, wanita berusia 56 tahun mengalami luka sedalam 2 sentimeter (sm) dan sepanjang 6 sm pada lengan kiri serta menerima 10 jahitan.
Beliau berkata, polis kemudiannya menahan lelaki itu di rumahnya kira-kira pukul 10.15 malam dan merampas dua bilah pisau dapur sepanjang 27 sm dan 31 sm berhulu plastik.
Hasil soal jawab bersama ibu suspek, anak lelakinya itu mengalami masalah mental sejak tahun 2016 dan sedang menjalani rawatan.
Katanya, suspek juga sudah lebih setahun berkurung di dalam rumah tanpa bercakap dengan sesiapa dan tidak pernah bertindak agresif terhadap ahli keluarga sebelum ini.
Hasil ujian saringan air kencing ke atas suspek juga mendapati negatif dadah.
Menurut Noorzainy, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
#pemuda #masalah mental #serang ibu bapa #pisau #solat tarawih #Kepala Batas #Taman Orkid Permai
;