Pempengaruh suami isteri kekal direman 4 hari kes salah guna kuasa, rasuah
Sinar Harian
Julai 12, 2024 18:34 MYT
Julai 12, 2024 18:34 MYT
KUALA LUMPUR: Pasangan suami isteri pempengaruh yang tular berhubung kes derma kekal direman selama empat hari selepas Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat, menolak permohonan mereka untuk mengetepikan perintah reman yang dikeluarkan Mahkamah Majistret Putrajaya pada Khamis.
Hakim, Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian selepas menolak permohonan semakan yang dibuat pasangan itu selaku pemohon.
Ketika membaca keputusan, beliau berkata, Majistret Putrajaya telah mematuhi peruntukan Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) dalam membenarkan permohonan reman yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Isu tiada kaitan antara pemohon dengan kesalahan yang disiasat tidak mempunyai merit.
“Sebarang kesalahan yang dilakukan pemohon-pemohon, jika ada, hanya boleh ditentukan selepas siasatan selesai, justeru itu pemohan semakan ini ditolak,” katanya.
Hakim ini berkata, SPRM seharusnya dibenarkan untuk melengkapkan siastaan mereka terhadap dua pemohon ini maka perintah reman oleh Majistret terhadap mereka adalah sah.
Semasa hujahan, peguam, Abd Rahim Ali yang mewakili kedua-dua pemohon itu berkata, permohonan reman dibuat di Mahkamah Majistret Putrajaya, mengikut Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009, iaitu membabitkan kesalahan menggunakan jawatan atau kedudukan untuk suapan.
Beliau berkata, seksyen itu menyentuh kes bagi mana-mana pegawai badan awam yang menggunakan jawatan atau kedudukan untuk suapan, sama ada bagi dirinya sendiri, saudara atau sekutu, melakukan suatu kesalahan.
“Mereka ditahan bukan membabitkan penyelewengan kutipan bantuan, namun SPRM menggunakan permohonan reman mengikut Seksyen 23 (1) akta itu terhadap anak guam saya.
“Jadi, kami membuat bantahan, sebab tak kena dengan seksyen yang dimohon oleh SPRM, hakikatnya mereka bukan seorang penjawat awam,” katanya yang turut disertai peguam, Abi Mursyidin Awal dan Fithril Hakim Ab Jalil.
Menurutnya, pasangan itu tidak mempunyai sebarang kaitan dengan mana-mana badan awam seperti yang tertakluk dalam Seksyen 3 Akta SPRM, iaitu akta yang membolehkan mereka disiasat mengikut Seksyen 23 akta sama.
"Pemegang saham dalam syarikat (yang terbabit) hanyalah Orang yang disiasat (OYDS) pertama dan kedua.
“Ahli-ahli dalam syarikat itu juga bukanlah pegawai badan awam dan pihak kami berhujah tiada kaitan antara kedua-dua suspek dan kesalahan yang disyaki.
"Oleh kerana tidak terdapat sebarang kaitan, maka perintah reman yg diberikan Mahkamah Majistret hendaklah diketepikan," katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib berkata, permohonan reman bukan suatu subjek yang perlu dibincangkan sekarang.
Menurutnya, permohonan semakan ini adalah pramatang kerana tiada apa-apa asas untuk mengatakan siasatan telah selesai dan tiada kesalahan di bawah seksyen tersebut.
Beliau berkata, prosedur reman ini adalah penting untuk kedua-dua pemohon dalam membuktikan sekiranya terdapat kesalahan yang dilakukan atau sebaliknya.
“Jika kita menggunakan hujahan itu, maka mana-mana suspek tidak boleh direman untuk siasatan bagi sebarang kes.
“Siasatan perlu dibuat secara menyeluruh, maka mana-mana orang yang disyaki perlu ditangkap terlebih dahulu kemudian berlanjutan ke permohonan reman,” katanya.
Menurutnya, sudah menjadi amalan ketika siasatan dibuka, namun tidak semestinya mereka akan dituduh mengikut seksyen yang sama.
Sementara itu, Law Chin How berkata, sebanyak 13 program telah disediakan di platform kutipan derma melalui dua pemohon itu.
Bagaimanapun, beliau berkata, masih terdapat beberapa program yang masih belum dikenal pasti untuk kutipan derma malah mereka gagal mengemukakan transaksi kewangan bagi setiap program tersebut.
“Mereka gagal mengemukakan dokumen pembayaran bagi setiap program yang dilaksanakan.
“Kesemua transaksi penerimaan kutipan sumbangan gagal dikemukakan dan suspek gagal menunjukkan transaksi kewangan kutipan sumbangan bagi setiap program yang dijalankan,” katanya.
Pada Khamis, pasangan suami isteri yang juga pempengaruh, tular berhubung isu derma, direman selama empat hari di Mahkamah Majistret Putrajaya, bagi membantu siasatan kes salah guna kuasa untuk mendapatkan rasuah, bermula 2022 lalu.
Majistret, Irza Zulaikha Rohanuddin mengeluarkan perintah terhadap pasangan yang mencipta kontroversi berhubung masalah rumah tangga itu, selepas membenarkan permohonan daripada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), mengikut Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009, iaitu membabitkan kesalahan menggunakan jawatan atau kedudukan untuk suapan.
Sementara itu, turut direman bermula Khamis ialah dua lelaki yang merupakan pengarah dan pemegang saham terbesar sebuah platform kutipan bantuan.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, ahli peniagaan tudung terbabit ditahan SPRM, pada jam 6.40 petang, Rabu.
Menurut sumber, ia berhubung siasatan kutipan derma melebihi jutaan ringgit, namun difahamkan wang itu tidak disalurkan secara betul.
Sejak beberapa hari lalu, tular di media sosial mengenai pempengaruh yang dikatakan mengambil komisen daripada kutipan derma orang ramai dengan peratusan yang tinggi.
Selain itu, mereka juga didakwa hidup dalam kemewahan sehingga menimbulkan pelbagai tanda tanya daripada warga siber.
Berikutan itu, pasangan itu telah tampil dan menafikan semua dakwaan penyelewengan dan pecah amanah. - Sinar Harian