Pempengaruh suami isteri direman 4 hari kes salah guna kuasa, rasuah

Sinar Harian
Julai 11, 2024 13:42 MYT
Pasangan suami isteri pempengaruh media sosial direman empat hari bagi membantu siasatan kes salah guna kuasa untuk mendapatkan suapan. Perintah dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin di Mahkamah Majistret Putrajaya. - Foto Sinar Harian
PUTRAJAYA: Pasangan suami isteri yang juga pempengaruh yang tular berhubung kes derma, direman selama empat hari di Mahkamah Majistret di sini hari ini bagi membantu siasatan kes salah guna kuasa untuk mendapatkan suapan, bermula 2022 lalu.
Majistret, Irza Zulaikha Rohanuddin mengeluarkan perintah terhadap pasangan yang mencipta kontroversi berhubung masalah rumah tangga itu, selepas membenarkan permohonan daripada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Lelaki berusia 30 tahun dan isterinya, 26, yang memakai baju lokap berwarna oren, kelihatan tenang dan sempat melemparkan senyuman kepada pengamal media, ketika dibawa ke mahkamah pada jam 9.19 pagi, dalam keadaan bergari.
Sementara itu, peguam, Abd Rahim Ali yang mewakili pasangan suami isteri tersebut berkata, pihak SPRM membuat permohonan reman selama tujuh hari namun mahkamah membenarkan perintah tahanan sehingga Ahad.
Menurutnya, siasatan kes dibuat mengikut Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009, iaitu membabitkan kesalahan menggunakan jawatan atau kedudukan untuk suapan.
Beliau berkata, seksyen itu menyentuh kes bagi mana-mana pegawai badan awam yang menggunakan jawatan atau kedudukan untuk suapan, sama ada bagi dirinya sendiri, saudara atau sekutu, melakukan suatu kesalahan.
"Dua anak guam saya ditahan bukan membabitkan penyelewengan kutipan bantuan, sebaliknya kes salah guna kuasa mengikut Seksyen 23 (1) akta itu.
"Jadi, kami membuat bantahan, sebab tak kena dengan seksyen yang dimohon oleh SPRM, hakikatnya mereka bukan seorang penjawat awam," katanya yang turut disertai peguam, Abi Mursyidin Awal dan Fithril Hakim Ab Jalil.
Sementara itu, turut direman bermula hari ini ialah dua lelaki yang merupakan pengarah dan pemegang saham terbesar sebuah platform kutipan bantuan.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, ahli perniagaan tudung terbabit ditahan SPRM, pada jam 6.40 petang, Rabu.
Menurut sumber, ia berhubung siasatan kutipan derma melebihi jutaan ringgit, namun difahamkan wang itu tidak disalurkan secara betul.
Sejak beberapa hari lalu, tular di media sosial mengenai seorang pempengaruh yang dikatakan mengambil komisen daripada kutipan derma orang ramai dengan peratusan yang tinggi.
Selain itu, mereka juga didakwa hidup dalam kemewahan sehingga menimbulkan pelbagai tanda tanya daripada warga siber.
Berikutan itu, pasangan itu telah tampil dan menafikan semua dakwaan penyelewengan dan pecah amanah. - Sinar Harian
#pempengaruh media sosial #reman #SPRM #seleweng duit derma
;