Pempengaruh suami isteri akan direman kes seleweng duit derma

Sinar Harian
Julai 11, 2024 10:10 MYT
Pasangan suami isteri yang juga pempengaruh, dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini bagi membantu siasatan kes menyeleweng kutipan derma. - Foto Sinar Harian
PUTRAJAYA: Pasangan suami isteri yang juga pempengaruh dan dua lelaki lain akan direman di Mahkamah Majistret di sini hari ini bagi membantu siasatan kes menyeleweng kutipan derma.
Lelaki berusia 30 tahun dan isterinya, 26, yang memakai baju lokap berwarna oren, kelihatan tenang dan sempat melemparkan senyuman kepada pengamal media, ketika dibawa ke mahkamah pada jam 9.19 pagi, dalam keadaan bergari.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, ahli perniagaan tudung terbabit ditahan SPRM, pada jam 6.40 petang, Rabu.
Menurut sumber, ia berhubung siasatan kutipan derma melebihi jutaan ringgit, namun difahamkan wang itu tidak disalurkan secara betul.
Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan pasangan terbabit direman untuk siasatan lanjut.
Sejak beberapa hari lalu, tular di media sosial mengenai seorang pempengaruh yang dikatakan mengambil komisen daripada kutipan derma orang ramai dengan peratusan yang tinggi.
Selain itu, mereka juga didakwa hidup dalam kemewahan sehingga menimbulkan pelbagai tanda tanya daripada warga siber.
Berikutan itu, pasangan itu telah tampil dan menafikan semua dakwaan penyelewengan dan pecah amanah. ~ Sinar Harian
#pempengaruh #seleweng duit derma #ahli perniagaan tudung #reman #SPRM
;