Pempengaruh maut: Tiga akan dipanggil termasuk bekas polis

Sinar Harian
Julai 15, 2024 17:50 MYT
Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, ketiga-tiga individu terbabit akan dipanggil dalam minggu ini. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil tiga individu termasuk seorang bekas polis untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan kes buli siber terhadap pempengaruh media sosial, A Rajeswary atau Esha di TikTok.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, ketiga-tiga individu terbabit akan dipanggil dalam minggu ini.
“Kita juga akan menghantar kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) hari ini (Isnin) untuk tindakan lanjut," katanya pada Isnin.
Ahmad Sukarno berkata, pihaknya juga masih menyiasat dakwaan bahawa terdapat pembabitan seorang pengasas produk dalam kes tersebut kerana siasatan bergantung kepada keterangan yang diperoleh daripada saksi-saksi.
Tambahnya, seramai 11 saksi sudah dirakam keterangan bagi membantu siasatan polis berkait kes ini.
Esha ditemui maut di kediamannya di Setapak, Kuala Lumpur pada 5 Julai, selepas sehari membuat laporan ugutan jenayah dan fitnah terhadap dirinya.
Susulan itu, dua akaun TikTok di bawah penama @DulalBrothers dan @Alphaquinnsha disiasat polis dipercayai menggunakan gambar Rajeswary (Esha) sebagai latar belakang kandungan video yang telah dimuat naik ke akaun masing-masing.
Kandungan tersebut juga didapati mengandungi ugutan dan ancaman kepada mangsa selain menggunakan kata-kata kesat serta lucah.
Bertindak hasil makluman, dua individu yang dikaitkan dengan dua akaun TikTok terbabit telah ditahan secara berasingan untuk disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955. - Sinar Harian
#pempengaruh maut #buli siber #siasatan polis #Esha
;