Pempengaruh maut: Seorang lagi pengguna TikTok ditahan

Sinar Harian
Julai 11, 2024 10:20 MYT
Menurut polis, lelaki terbabit akan disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan berhubung ugutan jenayah, Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 kerana menyebarkan kenyataan jelik dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
KUALA LUMPUR: Seorang lagi individu disyaki pengguna akaun TikTok @DulalBrothers ditahan, di sini, berhubung kes ugutan terhadap seorang pempengaruh media sosial yang ditemui meninggal dunia di kediamannya.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, lelaki tempatan itu ditahan kira-kira jam 6.30 petang di Setapak.
"Suspek kedua dipercayai melakukan ugutan menggunakan akaun TikTok '@DulalBrothers' telah ditahan semalam.
"Semakan awal mendapati lelaki ini bekerja sebagai pemandu lori," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Tambahnya, lelaki terbabit akan disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan berhubung ugutan jenayah, Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 kerana menyebarkan kenyataan jelik dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
Sebelum itu, pempengaruh terbabit iaitu Rajeswary Appahu, 30, atau digelar 'Esha' ditemui meninggal dunia, 5 Julai lalu, iaitu sehari selepas membuat laporan polis berhubung ugutan jenayah dan fitnah terhadap dirinya.
Berikutan itu, polis telah menahan seorang wanita tempatan berusia 35 tahun di Jalan Cempaka 2, Bukit Beruntung, Selangor jam 1.45 pagi, Isnin lalu.
Siasatan polis mendapati penama akaun @DulalBrothers dan @Alphaquinnsha telah menggunakan gambar Rajeswary (Esha) sebagai latar belakang kandungan video yang telah dimuat naik ke akaun masing-masing.
Kandungan tersebut juga didapati mengandungi ugutan dan ancaman kepada mangsa selain menggunakan kata-kata kesat serta lucah. - Sinar Harian
#pempengaruh media sosial #ugutan #Polis Daerah Sentul #TikTok