Pempengaruh dinasihati ajak masyarakat ke arah kebaikan khususnya agama - Mohd Na'im

Bernama
Mac 5, 2024 18:29 MYT
Mohd Na'im berkata, pempengaruh perlu imbangi perbuatan antara populariti, mengajak atau berniat mengajak masyarakat ke arah kebaikan dan menyebarkan kebenaran tanpa memprejudiskan diri sendiri. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Personaliti media sosial dinasihatkan untuk menggunakan pengaruh mereka ke aras kebaikan dan mengelakkan tindakan yang boleh membawa prejudis, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar.
Beliau berkata demikian susulan tular video seorang pempengaruh dan usahawan terkenal yang sedang menjalankan ibadah umrah mengundang perhatian, apabila berlaku pergelutan ketika mahu mencium Hajarul Aswad.
"Saya tekankan bahawa mencium Hajarul Aswad itu perkara sunat dan ketika mana dalam keadaan atau suasana di persekitaran tawaf itu berada dalam situasi tenang. Tetapi sekiranya keadaan itu membahayakan keselamatan dan sebagainya boleh membawa aib terbuka kain ihram dan sebagainya, jadi boleh membawa kepada hukum haram ketika itu.
"Oleh kerana hukum ini berbeza mengikut keadaan, jadi saya mengambil kesempatan untuk menasihati khususnya kepada sahabat-sahabat pempengaruh untuk menggunakan pengaruh mereka ke arah kebaikan dan melihat kepada batasan-batasan tertentu khususnya dalam konteks ibadah," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Kerjasama antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Universiti Tenaga Nasional (Uniten) di sini hari ini.
Katanya seorang pempengaruh perlulah mengimbangi perbuatan antara populariti, mengajak atau berniat mengajak masyarakat ke arah kebaikan dan menyebarkan kebenaran tanpa memprejudiskan diri sendiri atau mana-mana pihak apabila menggunakan media sosial.
Majlis Menandatangani Memorandum Kerjasama antara Jakim, UTeM dan Uniten itu adalah bagi pelaksanaan Program Pensijilan Tahfiz Al-Quran.
Mohd Na'im berkata program kerjasama antara Jakim-UTeM telah bermula sejak tahun 2017 manakala kerjasama antara Jakim-Uniten pula telah bermula sejak tahun 2013 lagi dan sehingga kini, Darul Quran Jakim telah menjalinkan kerjasama dengan beberapa institusi di seluruh Malaysia.
Sementara itu Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor menyarankan agar mutawif umrah dan haji untuk memberi penjelasan mengenai hukum mengusap atau mengucup hajarul aswad kepada para jemaah masing-masing sebelum berangkat ke Mekah bagi menunaikan ibadah itu.
Beliau berkata perkara itu perlu dijelaskan kepada para jemaah bagi memastikan kesempurnaan ibadat yang dikerjakan di Tanah Suci.
-- BERNAMA
#pempengaruh #ajakan kebaikan #Mohd Na'im Mokhtar #usahawan viral #Hajarul Aswad
;