Pemotong ayam temui ajal dengan hanya satu tikaman sahaja - Polis
Raffi Bachik
Oktober 15, 2017 15:42 MYT
Oktober 15, 2017 15:42 MYT
Seorang pemotong ayam yang maut selepas dipercayai ditikam isterinya yang berusia 18 tahun dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Pertama Sungai Abong, di sini petang semalam, disahkan menemui ajal dengan hanya satu tikaman menggunakan pisau pemotong sayur bersaiz kira-kira 21 sentimeter (sm).
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata kejadian sekitar 2 petang itu telah menyebabkan kematian mangsa, Mohd Firdaus Md Salehuddin, 28.
Hasil siasatan awal, polis juga tidak menolak faktor "cemburu" menjadi punca insiden berkenaan tercetus. Ia ekoran mangsa dikatakan sudah dua hari tidak pulang ke rumah mereka di Parit Bunga,Tangkak.
Malah katanya, pertelingkahan dan pergelutan turut berlaku antara mangsa dan suspek yang datang ke lokasi kejadian yang merupakan sebuah rumah persinggahan dan stor penyimpanan barangan tempat mangsa bekerja sebelum berlaku pertikaman lidah antara pasangan suami isteri itu dan berakhir dengan tragedi.
Katanya lagi, mangsa disahkan ditikam dengan hanya satu tikaman di bahagian dada kanan dengan hanya menggunakan pisau pemotong sayur jenama "kiwi" dan suspek juga sempat bertindak membuang senjata berkenaan ke longkang di tepi rumah berkenaan.
“Senjata kami telah rampas, walau bagaimanapun senjata terpaksa kami bawa ke post mortem untuk pathologist, iaitu sebilah pisau memotong sayur 21sm dan kecederaan yang kami nampak hanya satu tikaman di bahagian dada kanan.
“Satu tikaman sahaja dan pihak polis mengandaikan kes telah selesai dan suspek mengaku menikam suaminya ekoran pertelingkaran dan sedikit pergelutan di dalam rumah. Mangsa (ditemui) terlentang di ruang tamu dan suspek ada di dalam rumah dan pisau itu dibuang di longkang,” kata Zaharudin dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah ( IPD) di sini hari ini.
Kata beliau lagi, suspek juga turut mengaku melakukan perbuatan itu dan menunjukkan lokasi dimana senjata yang digunakan untuk menikam suaminya itu dibuang.
Pihak polis kemudian menahan suspek dan pakaian yang digunakan wanita berkenaan dihantar ke Jabatan Kimia sementara proses bedah siasat terhadap mangsa di Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar sedang dijalankan.
Dalam pada itu, polis turut mengambil keterangan majikan mangsa yang berada di lokasi kejadian dan menganggap kes ini selesai berdasarkan pengakuan suspek.
Polis telah mendapatkan perintah reman selama enam hari keatas suspek dari Mahkamah Majistret Muar pagi tadi.