Peminjam perlu hubungi bank bincang pilihan bayaran balik kewangan

Bernama
Jun 19, 2023 16:38 MYT
ABM sedia bantu peminjam perniagaan kecil yang hadapi kesukaran membayar balik hutang disebabkan peningkatan kos pinjaman berikutan kenaikan OPR. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Peminjam yang memerlukan bantuan kewangan perlu menghubungi bank melalui saluran rasmi bank masing-masing secepat mungkin bagi membincangkan pilihan pembayaran balik kewangan yang sesuai dengan keadaan kewangan mereka, kata Persatuan Bank-Bank Malaysia (ABM).
Ahli bank ABM berkata, pihaknya sentiasa bersedia untuk membantu peminjam perniagaan kecil yang menghadapi kesukaran untuk membayar balik hutang mereka disebabkan peningkatan kos pinjaman baru-baru ini berikutan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR).
"ABM dan ahli-ahli banknya mengambil maklum bahawa ansuran bayaran balik bulanan bagi pinjaman dengan kadar faedah terapung akan meningkat berikutan kenaikan OPR baru-baru ini," kata ABM dalam satu kenyataan hari ini.
Bagi membantu pelanggan yang memerlukan, persatuan itu berkata bank-bank akan terus menawarkan bantuan melalui perkhidmatan seperti penjadualan semula pembayaran balik pinjaman dan penstrukturan semula pinjaman.
"Pelanggan diingatkan supaya berhati-hati dengan penyamaran dalam talian (scammer) dan hanya memohon bantuan kewangan melalui saluran bank rasmi
"Pelanggan bank juga dinasihatkan supaya tidak berurusan dengan mana-mana pihak ketiga yang mendakwa sebagai ejen/wakil bank mengenai perkara berkaitan bantuan pembayaran balik, kerana bank tidak melantik atau melibatkan pihak ketiga atau ejen bagi tujuan ini," tambah ABM.
-- BERNAMA
#Peminjam #bantuan kewangan #bank #ABM #OPR #perniagaan
;