Peminjam ah long lari, jiran kena tanggung padah

Bernama
Julai 31, 2019 13:33 MYT
Chiang berkata dia tidak pernah membuat sebarang pinjaman kewangan dengan mana-mana pihak termasuk Ah Long dan berharap polis mengambil tindakan sewajarnya terhadap pelaku. - Gambar hiasan
Orang lain yang berhutang dengan pinjaman wang haram atau Ah Long, orang lain yang menjadi mangsa sehingga menyebabkan rasa takut.
Mangsa Chiang Ghee Siew, 55, mendakwa kira-kira pukul 9 pagi Ahad lepas, dia terkejut apabila mendapati terdapat kesan cat warna merah di pintu pagar hadapan dan dinding rumah serta belakang kereta jenis Myvi miliknya di Taman Kledang Sentosa dekat Menglembu.
"Saya turut menemukan sekeping nota mengandungi satu nama serta nombor kad pengenalan dan amaran 'Hutang wang, bayar wang!! Ini amaran pertama !! Jangan sampai rumah kena bakar!!'."
"Pemilik nama itu adalah jiran saya dan telah pindah bersama isteri serta dua orang anaknya pada 21 Julai lepas ke lokasi yang tidak diketahui. Saya tidak begitu rapat dengan keluarga tersebut, sekadar bertanya khabar apabila terserempak," katanya pada sidang media di Wisma DAP di sini, hari ini.
Menurut Chiang, ketika membuat laporan polis di Balai Polis Menglembu Ahad lepas, beliau dimaklumkan pemilik nama dalam nota itu pernah membuat laporan mendakwa diganggu oleh Ah Long akibat berhutang sebanyak RM10,000.
Chiang yang bekerja sebagai eksekutif sumber manusia di sebuah syarikat swasta berkata dia tidak pernah membuat sebarang pinjaman kewangan dengan mana-mana pihak termasuk Ah Long dan berharap polis mengambil tindakan sewajarnya terhadap pelaku.
"Saya tinggal di situ bersama seorang kakak dan anak saudara perempuan sejak empat tahun lepas dan tidak pernah mengalami kejadian seperti itu, sekarang kami bertiga amat takut sekiranya diganggu lagi," katanya.
Sementara itu, Pengarah Biro Pengaduan Awam DAP negeri, Steven Chaw Kam Foon berkata pihaknya menerima sebanyak lima aduan berkaitan kes diganggu Ah Long sejak Januari lepas.
"Saya berharap pihak polis menjalankan siasatan dan menangkap pihak berkenaan dengan segera memandangkan kes ini melibatkan keselamatan orang awam," katanya.
-- BERNAMA
#Ah Long #cat merah #diganggu #dinding rumah #jiran #kereta #keselamatan #laporan polis #mangsa #Menglembu #pinjaman kewangan #pinjaman wang haram #pintu pagar #polis #siasatan
;