Pemindahan Politeknik Melaka di peringkat akhir perbincangan

Bernama
Julai 26, 2024 04:00 MYT
Taib berkata kampus baharu yang dicadangkan pembinaannya di sebelah UNIMEL itu akan dimuktamadkan tidak lama lagi. - Foto Facebook/Politeknik Melaka
ALOR GAJAH: Projek pemindahan kampus Politeknik Melaka ke Kuala Sungai Baru yang kini di peringkat akhir perbincangan bakal melonjakkan kawasan utara Melaka khususnya Kuala Sungai Baru sebagai hab pendidikan dan penyelidikan di negeri ini.
Naib Canselor Universiti Islam Melaka (UNIMEL) Prof Datuk Dr Taib Dora berkata kampus baharu yang dicadangkan pembinaannya di sebelah UNIMEL itu akan dimuktamadkan tidak lama lagi selepas kunjungan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zaini Ujang ke UNIMEL baru-baru ini.
"Kita jangka projek atas tanah seluas 11 hektar bersebelahan UNIMEL yang dijual kepada Politeknik Melaka akan bermula pada November ini dan mengambil masa sekitar setahun untuk disiapkan.
"Perkongsian kemudahan yang dirancang ialah dewan, tempat penginapan yang mampu menempatkan sekitar 7,000 pelajar, bilik kuliah, stadium dan perpustakaan," katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas majlis Pelancaran Israr Corner, Perasmian Institut Kajian Tuah dan Majlis Menandatangani Surat Niat Bersempena Sambutan Ulang Tahun ke-30 UNIMEL di universiti tersebut di sini pada Jumaat yang dirasmikan oleh Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Mengulas lanjut, Taib berkata perkongsian ini juga dilihat akan membawa impak positif dalam bidang pengajian dan penyelidikan bagi kedua-dua institusi dalam penggunaan teknologi tinggi.
Media sebelum ini melaporkan kerajaan negeri berhasrat memindahkan Politeknik Melaka yang beroperasi di Plaza Pandan, Malim ke UNIMEL berikutan pelbagai faktor termasuk telah menyewa di lokasi berkenaan selama hampir 20 tahun.
-- BERNAMA
#Kementerian Pendidikan #UNIMEL #peringkat akhir #Politeknik Melaka
;