Pemindahan pokok tidak disaran kerana ia memudaratkan sistem ekologi - Pakar

Pia Ernadya
Mei 15, 2024 08:30 MYT
Nor Atiah berkata, jika ada keperluan untuk melakukan pemindahan pokok, ia harus dilakukan dengan tata cara yang sangat teknikal. - Foto fail/BERNAMA Gambar kecil: Nor Atiah Ismail
KUALA LUMPUR: Alternatif memindahkan pokok yang usang untuk tujuan pemuliharaan mungkin kelihatan sebagai langkah yang memberangsangkan, namun hakikatnya ia hanya memudaratkan sistem ekologi yang pada asalnya sudah stabil.
Menurut Presiden Institut Arkitek Landskap Malaysia (ILAM), Profesor Madya Nor Atiah Ismail, apabila pemindahan pokok dilakukan, keadaan asalnya akan berubah kerana akar pokok berkenaan, yang telahpun berada di sesebuah lokasi selama puluhan tahun, terpaksa dipotong.
"Pemindahan pokok adalah pilihan terakhir yang kita boleh buat. Sebaik-baiknya adalah (dengan) mengekalkan pokok di kawasan di mana ia telah berada untuk sekian lama," jelas beliau.
Nor Atiah memperincikan, jika ada keperluan untuk melakukan pemindahan pokok, ia harus dilakukan dengan tata cara yang sangat teknikal untuk memastikan pokok tersebut masih dapat terus hidup setelah dipindahkan.
"Pada masa yang sama, kita kena tengok juga peletakan pokok di tempat baharu.. tak perlu untuk kita letakkan ia di kawasan sensitif.. contohnya, di wind tunnel dan sebagainya.
"Perkara-perkara itu memerlukan kepakaran arkitek landskap dalam melihat pemindahan pokok dan sebagainya Bersama-sama pakar lain, kita (juga) akan memastikan aktiviti pemindahan pokok tersebut dapat dijalankan dengan sebaiknya," katanya ketika wawancara Pantau Agenda Reformasi pada Selasa.
Tambahnya lagi, pemindahan untuk sesebuah pokok juga bukanlah suatu perkara yang murah dan ia sekali gus memerlukan teknikaliti yang sangat tinggi.
"Dengan itu, kita sarankan, pokok-pokok adalah lebih baik dikekalkan di mana-mana kawasan yang ia tumbuh dan bangunkan sistem ekologi yang stabil di situ.
"Melainkan (jika) tiada jalan lain.. terutamanya pokok-pokok berusia dan warisan yang perlu untuk kita kekalkan, dan (ada keperluan) untuk kita buat pemindahan.. baru kita kena tengok (nilai) semula," jelasnya.
#Pokok tumbang #pantau agenda #DBKL #pokok warisan
;