Pemindahan IPD Melaka Tengah ke bangunan sementara bukan dihalau

Bernama
September 4, 2024 08:45 MYT
Zainol berkata bangunan sementara IPD Melaka Tengah itu terletak di lokasi strategik dan selamat digunakan kerana mempunyai CF dikeluarkan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah sejak 2003. - Foto Melaka Kini/BERNAMA
MELAKA: Polis Melaka menafikan dakwaan pemindahan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di Banda Hilir ke bangunan sementara di Batu Berendam di sini, kerana dihalau oleh kerajaan negeri.
Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah berkata dakwaan dibuat individu tidak bertanggungjawab menerusi satu klip video yang tular di media sosial semalam adalah fitnah bertujuan mencemarkan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kerajaan negeri Melaka.
Susulan itu, beliau berkata satu laporan polis telah dibuat dan kes disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
"Ia adalah satu fitnah kerana keputusan pemindahan IPD Melaka Tengah ke bangunan sementara itu dilakukan memandangkan bangunan sedia ada telah mencecah usia 100 tahun dan tidak lagi selamat untuk digunakan serta memerlukan kos yang tinggi untuk pembaikan.
"Justeru atas rasa tanggungjawab, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh melakukan beberapa siri lawatan ke IPD Melaka Tengah di Banda Hilir dan situasi berkenaan disuarakan beliau ke peringkat tertinggi sehingga kerajaan meluluskan penempatan sementara untuk IPD berkenaan," katanya dalam kenyataan di sini malam tadi.
Beliau berkata usaha berkenaan dilakukan bagi memastikan keselamatan warga PDRM dan keselesaan orang awam yang berurusan selain menunggu kelulusan pembinaan IPD Melaka Tengah baharu yang akan diteruskan dalam Rancangan Malaysia ke-12 Rolling Plan Kelima.
Zainol berkata bangunan sementara IPD Melaka Tengah itu terletak di lokasi strategik dan selamat digunakan kerana mempunyai Sijil Layak Menduduki (CF) dikeluarkan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) sejak 2003.
Beliau berkata bangunan itu juga telah dibaik pulih hampir 96 peratus oleh kontraktor dilantik Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka untuk dijadikan sebagai ruang pejabat sekali gus memastikan kesediaan IPD berkenaan beroperasi sepenuhnya.
"Orang ramai dinasihatkan tidak mudah percaya dan menyebarkan berita tidak berasas serta tidak disahkan kesahihannya. Tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana individu didapati mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan dan fitnah atau berita palsu di platform media sosial," katanya.
Video berdurasi hampir dua minit yang tular di TikTok semalam mendakwa warga IPD Melaka Tengah dihalau keluar dari bangunan sedia ada oleh Ketua Menteri Melaka kerana premis itu dijual kepada pihak ketiga.
-- BERNAMA
#IPD Melaka Tengah #fitnah #Zainol Samah #cemar imej polis