Pemimpin yang baik perlu sedia terima teguran - Syed Ali

Astro Awani
Mei 27, 2021 21:01 MYT
Syed Ali berkata, pemimpin akan dihormati jika sentiasa berlapang dada menerima kritikan atau teguran pihak lain. - Facebook
KUALA LUMPUR: Pemimpin yang baik dan kekal dihormati adalah mereka yang sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat dalam apa juga situasi.
Di samping itu, Pengerusi Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Datuk Seri Syed Ali Syed Abbas Al-Habshee berkata, pemimpin akan dihormati jika sentiasa berlapang dada menerima kritikan atau teguran pihak lain.
"Ini kerana seseorang pemimpin itu dipilih dan disokong oleh rakyat terutama daripada kalangan penyokong sesebuah parti politik yang diwakili berasaskan kepada kepercayaan dan tahap kebolehan mereka menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan.
"Justeru, jika seseorang pemimpin itu dilihat telah gagal menyempurnakan tanggungjawab yang telah diamanahkan, sebaliknya lebih mengutamakan kepada kepentingan peribadi dan bersikap sambil lewa terhadap permasalahan rakyat, maka seseorang pemimpin itu dilihat telah melakukan khianat terhadap kepercayaan serta mandat rakyat," katanya dalam catatan terbaharu di laman Facebooknya pada Khamis.
BACA: Pemimpin berintegriti dahulukan kepentingan rakyat - Syed Ali
Dalam pada itu jelas Syed Ali, seseorang pemimpin yang ikhlas kepada tanggungjawab yang telah diamanahkan tidak akan meletakkan kecuaian dan kesilapan mereka kepada orang lain.
"Apatah lagi jika ia untuk mempertahankan keangkuhan kuasa sedangkan jawatan dan kedudukkan itu diberikan oleh rakyat dengan kehendak Allah S.W.T," ujarnya.
Beliau sebelum ini dilaporkan berkata, pemimpin berintegriti adalah pemimpin yang mendahului kepentingan rakyat dan berkongsi keresahan mereka dengan tidak menyasarkan agenda politik untuk kepentingan puak tertentu atau berhempas-pulas membina tampuk kuasa.
"Dalam masa sama, golongan agama yang mengelilingi pemegang kuasa juga sewajarnya menunjukkan teladan dan akhlak kepimpinan terpuji sesuai dengan tahap keilmuan agama yang mereka miliki.
"Tegasya, mereka juga bukannya sekadar bersandarkan kepada pengaruh jawatan untuk mengumpul kemewahan dan menagih populariti duniawi," jelasnya.
#PPZ-MAIWP #pemimpin #peribadi #rakyat #Syed Ali Syed Abbas Al-Habshee
;