Pemimpin, wakil rakyat pakai topi keledar tunjuk teladan - Wee Ka Siong

Bernama
Ogos 26, 2020 19:21 MYT
Wee Ka Siong berkata, Seksyen 114 Akta Pengangkutan Jalan 1987 boleh dikenakan terhadap mana-mana pemimpin dan wakil rakyat kerajaan mahupun pembangkang, yang melanggar akta itu. - Gambar BERNAMA
Pemimpin dan wakil rakyat dinasihat untuk mempamerkan teladan dengan memakai topi keledar ketika menunggang atau membonceng motosikal, termasuk ketika berkempen pada pilihan raya.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, Seksyen 114 Akta Pengangkutan Jalan 1987 boleh dikenakan terhadap mana-mana pemimpin dan wakil rakyat kerajaan mahupun pembangkang, yang melanggar akta itu.
"Sekiranya YB (Yang Berhormat) nak kemuka bukti yang ada, saya akan minta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menjalankan siasatan ikut prosedur operasi standard (SOP), tetapi Notis 114 (notis temu siasat di bawah Seksyen 114 Akta Pengangkutan Jalan 1987) perlu dikeluarkan, dan bergantung kepada bukti yang kukuh.
"Saya akan minta pihak berkuasa atau penguatkuasa untuk jalankan (siasatan), ini bagi dua-dua pihak tak kira pembangkang atau kerajaan. Ini proses advokasi juga, jadi mulai saat ini saya minta sesiapa yang berkempen di pilihan raya negeri dan pilihan raya kecil, tunjukkan teladan dengan memakai topi keledar," katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020.
Wee turut berkata, kini sudah tiba masa untuk mewajibkan pemakaian topi keledar di semua jenis jalan seperti yang termaktub dalam akta itu.
Terdahulu ketika sesi perbahasan rang undang-undang itu, Anthony Loke Siew Fong (PH-Seremban) membangkitkan isu segelintir pemimpin dari blok kerajaan, tidak memakai topi keledar apabila membonceng motosikal ketika berkempen, pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Slim, baru-baru ini.
Loke turut menunjukkan gambar-gambar berhubung perkara itu.
Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) yang mencelah ketika pergulungan Wee, turut mendedahkan beberapa pemimpin pembangkang juga melakukan kesalahan sama. - BERNAMA
#Akta Pengangkutan Jalan #Jabatan Pengangkutan Jalan #kempen pilihan raya #pemimpin #topi keledar #wakil rakyat #Wee Ka Siong
;