'Pemimpin utama kerajaan' dulu tak peduli pun pasal dasar gaji minimum - PM Najib
Firdaus Azil
Mei 1, 2018 14:20 MYT
Mei 1, 2018 14:20 MYT
Kongres Kesatuan Kerja Malaysia (MTUC) sudah memperjuangkan dasar gaji minimum sejak tahun 1998 lagi, tetapi langsung tidak diendahkan ‘pemimpin utama kerajaan’ ketika itu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menyedari perkara itu perlu diselesaikan segera, Datuk Seri Najib berkata, sejurus beliau ambil alih tampuk kepimpinan negara pada 2009, perkara pertama beliau lakukan ialah terus melaksanakan Dasar Gaji Minimum Kebangsaan.
“’Pemimpin utama Kerajaan’ ketika itu, langsung tidak mengendahkan permintaan ini dan terus membiarkan nasib warga pekerja ketika itu, sehingga ada yang bergaji serendah RM400 sebulan.
“Tatkala dalam masa setahun sahaja, setelah saya menerajui Kerajaan pada 2009, antara perkara pertama saya lakukan adalah mengumumkan pelaksanaan Dasar Gaji Minimum Kebangsaan semasa membentangkan Bajet 2011 pada 15 Oktober 2010.
“Manakala, dalam tempoh kurang dari setahun juga, Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 telah dikuatkuasakan mulai 15 September 2011,” katanya ketika berucap di Sambutan Hari Pekerja peringkat Kebangsaan, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.
Melangkah ke hadapan, Perdana Menteri berkata, Barisan Nasional melalui Manifesto Pilihan Raya Umum ke-14, sudah menggariskan janji untuk meningkatkan gaji minimum kepada RM1,500 dalam tempoh lima tahun akan datang.
Malah, tambahnya lagi, jika mandat rakyat berpihak kepada BN, mereka akan menaikkan gaji minimum kepada kadar yang lebih tinggi lagi.
“Saya akan menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,000 (Semenanjung) dan RM920 (Sabah dan Sarawak) kepada kadar baharu yang akan kita umumkan pada tahun ini juga. Jika nak kadarnya lebih tinggi,…kena undi dan bagi menang Barisan Nasional dululah,” katanya lagi sambil disambut sorakan 80 kontinjen warga pekerja di dalam Dewan Merdeka.
Terdahulu, Datuk Seri Najib mengumumkan lima ‘hadiah istimewa’, sempena bagi menghargai kesetiaan pekerja pelbagai sektor.
Pengumuman itu termasuk perubahan polisi mengenai dasar perintah gaji minimum, perlindungan keselamatan, kebajikan pekerja, serta persiapan menghadapi Revolusi Industri 4.0
Beliau turut mengumumkan peruntukan RM210 juta untuk Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) bagi program menambah kemahiran serta membolehkan pekerja yang tiada kelulusan tinggi untuk mendapat diploma, RM60 juta peruntukan tambahan untuk Pertubuhan Keselamatan Sosial, dan RM3 juta bagi kesatuan pekerja pelbagai sektor di negara ini.
“Kalau kerajaan BN itu umpama bunga, maka warga pekerja ibarat tangkainya, justeru jangan sesekali terpesona dan tergoda dan menghirup madu di ‘bunga’ lain.
“Teruslah yakin.. menikmati madu dari kelopak Barisan Nasional yang tulen, lagi menjadi penawarnya," Usahlah memilih ‘mata yang lebam’, kelak tersesat di hujung jalan.
“Walau apapun, dari Langkawi ke Semporna, nasib pekerja akan dipertahan dan terus kita bela,” katanya mengakhiri ucapan.
#Barisan Nasional
#cuepacs
#Hari Pekerja 2018
#Manifesto
#MTUC
#Najib Razak
#Najib Tun Razaj
#Pekerja
#Perdana Menteri
#perkeso
#pilihan raya umum
#PWTC