Pemimpin Umno tewas PRU13 masih wajar bertanding dalam pemilihan MT Umno
Aizat Sharif
Ogos 24, 2013 17:46 MYT
Ogos 24, 2013 17:46 MYT
Tiada syarat yang tidak membolehkan pemimpin Umno yang tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dari bertanding dalam pemilihan Majlis Tertinggi parti tersebut pada Oktober ini.
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah menerangkan bahawa Umno tidak pernah mempunyai syarat-syarat yang tidak membenarkan ahlinya yang tewas dalam pilihan raya umum dari bertanding merebut jawatan dalam pemilihan parti.
“Kita tidak pernah ada mempunyai apa-apa syarat berkaitan dengan ketidakbolehan seseorang pemimpin Umno yang tewas dalam PRU13 dari bertanding untuk pemilihan jawatan Majlis Tertinggi,” kata beliau ketika dihubungi Astro Awani.
Menurutnya lagi, dalam sejarah Umno memang pernah ada tiga kriteria pemimpin yang dipilih dalam setiap pemilihan parti tersebut.
“Terdapat ahli Umno yang menang dalam PRU namun tewas dalam pemilihan Majlis Tertinggi parti, ada pula yang tidak bertanding atau tewas dalam PRU tetapi menang dalam pemilihan Majlis Tertinggi dan ada juga yang menang kedua-duanya,” katanya lagi.
Saifuddin berkata ianya bermakna dalam Majlis Tertinggi itu sendiri mempunyai pelbagai kombinasi pemimpin seperti yang tua dan yang muda, lelaki dan wanita, menteri dan bukan menteri dan ahli parlimen dan bukan ahli parlimen.
“Dari segi tradisi, ahli-ahli Umno begitu bijaksana dan mampu mennetukan peranan dan pimpinan Umno itu sendiri jika syarat tersebut diguna pakai, mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammad tidak akan menjadi presiden Umno kerana pernah tewas dalam Pilihan Raya Umum dahulu,” kata beliau.
Sementara itu seorang lagi Ahli Majlis Tertinggi, Dr Mohd Puad Zarkashi pula menyifatkan apa juga keputusan yang diraih dalam pilihan raya lalu tidak boleh disamakan dalam pemilihan parti.
“Syarat dalam PRU adalah berbeza sama sekali dalam parti jadi untuk mencadangkan ahli atau pemimpin yang tewas dalam PRU lalu adalah sangat tidak wajar,” kata Mohd Puad.
Pada Khamis lalu, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim mencadangkan supaya hanya pemimpin Umno yang menang dalam PRU13 wajar bertanding untuk jawatan Majlis Tertinggi dalam pemilihan parti itu Oktober ini.
Menurutnya, hanya kemenangan yang menjadi ukuran dan kekuatan untuk menerajui Umno.
Dalam Pilihan Raya Umum ke-13, Datuk Saifuddin Abdullah tewas kepada Ketua Pemuda Pas, Nasrudin Hassan Tantawi di Parlimen Temerloh dengan majoriti sebanyak 1,070 undi manakala Dr Mohd Puad Zarkashi pula kalah kepada calon dari Parti Keadilan Nasional (PKR), Datuk Mohd Idris Jusi di Parlimen Batu Pahat dengan majoriti 1,732 undi.