Pemimpin ucap Selamat Hari Guru, kenang jasa dan pengorbanan insan hebat
Bernama
Mei 16, 2023 13:25 MYT
Mei 16, 2023 13:25 MYT
KUALA LUMPUR: Jasa dan pengorbanan golongan pendidik yang banyak melahirkan individu berjaya sentiasa dihargai oleh semua lapisan masyarakat termasuk pemimpin negara.
Bertemakan "Guru Insani Pemangkin Generasi MADANI", ucapan Selamat Hari Guru buat insan luar biasa ini mencurah-curah di laman sosial antaranya daripada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan barisan menteri.
Ahmad Zahid menzahirkan ucapan terima kasih buat semua pendidik dan berharap semoga ilmu yang dicurahkan oleh guru menjadi pahala yang mengalir tanpa henti.
"Guru Insani Pemangkin Generasi Madani. Selamat Hari Guru kepada semua warga pendidik di seluruh negara," kata beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi turut memetik sajak "Guru oh Guru" oleh Usman Awang bagi menggambarkan pengorbanan dan jasa insan bergelar guru.
"Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa; Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta; Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara; jika hari ini seorang ulama yang mulia; jika hari ini seorang peguam menang bicara; jika hari ini seorang penulis terkemuka; jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa; sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa; dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca," katanya.
Menurutnya, beliau berada di tempatnya sekarang kerana didikan mereka yang bergelar guru serta mengucapkan terima kasih kepada guru yang pernah mendidiknya dan anak-anaknya serta seluruh guru di Malaysia.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek pula berkata peranan guru bukan sahaja mendidik, malah menumbuhkan jati diri anak didik sehingga mampu mendepani kehidupan dengan cekal dan berani.
Beliau berkata banyak perkara yang dipelajari dan diinsafi berikutan perjumpaannya dengan ramai golongan pendidik di seluruh negara menerusi pelbagai program.
"Cikgu-cikgu yang baik budi, dengan rendah hati saya ingin mengucapkan 'Selamat Hari Guru' buat insan-insan istimewa yang sentiasa menyuburkan jiwa-jiwa yang merdeka," katanya.
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil turut mengucapkan terima kasih untuk ilmu dan jasa guru dalam mendidik masyarakat.
"Tanpa kalian, siapa lah kami. Selamat Hari Guru!" katanya.
Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa pula berkata peranan insan bernama guru terlalu berat dan sarat dengan amanah dalam mendidik anak bangsa kerana mereka yang bertanggungjawab "memanusiakan" insan.
"Saya turut ingin mengambil kesempatan ini untuk menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan buat guru-guru saya di Sekolah Perempuan Sultan Ibrahim, MRSM Kota Bharu, MRSM Seremban dan Universiti Kebangsaan Malaysia.
"Tidak dilupa juga, ibu bapa, para doktor senior serta rakan-rakan yang banyak mengajar saya erti untuk hidup dan berbakti," katanya.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub turut mengucapkan terima kasih kepada semua guru di seluruh Malaysia yang berkorban seluruh tenaga untuk melahirkan generasi progresif, berakal budi dan berdaya maju demi negara yang lebih cemerlang.
"Guru merupakan insan penting dalam melahirkan generasi yang cemerlang. Mereka bukan sahaja mengajar ilmu duniawi tetapi turut menerapkan nilai kasih sayang, budi pekerti dan ihsan dalam kehidupan," kata Salahuddin.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh guru di Malaysia bersama dua rangkap pantun berbunyi;
"Penat bertanam berhenti dahulu,
Selesaikan kerja baru berangkat,
Amanat ditanam itulah guru,
Petua dipegang ilmu diangkat."
-- BERNAMA