Pemimpin tenaga ASEAN sambut baik saranan projek dagangan kuasa berdasarkan AIMS III

Bernama
Ogos 25, 2023 04:20 MYT
Para pemimpin tenaga Negara Anggota Asean sambut baik gesaan untuk memulakan projek dagangan kuasa pelbagai hala baharu dan merapatkan jurang dengan menghubungkan subwilayah utara, selatan dan timur.
BALI: Para pemimpin tenaga Negara Anggota Asean (AMS) menyambut baik gesaan untuk memulakan projek dagangan kuasa pelbagai hala baharu dan merapatkan jurang dengan menghubungkan subwilayah utara, selatan dan timur berdasarkan saranan Kajian Pelan Induk Saling Sambung Asean III (AIMS III).
Dapatan kajian AIMS III menunjukkan kebolehlaksanaan dan potensi kesalinghubungan tenaga di rantau ini, demikian menurut deklarasi Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga Asean ke-41 (AMEM-41) yang dikeluarkan di sini, hari ini
AMS juga bersetuju untuk meneruskan sasaran serantau bagi sambungan kuasa melalui Grid Tenaga Asean (APG) dan Saluran Paip Gas Trans-Asean (TAGP), termasuk infrastruktur gas asli cecair (LNG) menjelang 2045, selaras dengan jangka masa 20 tahun pasca Wawasan Komuniti Asean 2025.
Para pemimpin juga positif tentang kemajuan yang dicapai dalam APG, terutamanya berkaitan Projek Integrasi Kuasa Laos-Thailand-Malaysia-Singapura (LTMS-PIP) serta pelbagai sambungan kuasa dua hala, yang akan memungkinkan pindahan kuasa rentas sempadan bagi lapan AMS.
AMEM-41 juga diakhiri dengan para pemimpin tenaga rantau ini menunjukkan komitmen untuk meneruskan usaha mewujudkan Projek Integrasi Kuasa Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-PIP) sebagai projek dagangan kuasa pelbagai hala yang berpotensi di bawah APG. - BERNAMA
#pemimpin tenaga ASEAN #AIMS III #ams #Kajian
;