Pemimpin sekarang diingatkan supaya tidak rakus, angkuh, gelojoh macam pegawai penjajah - PM
Bernama
Februari 20, 2024 23:45 MYT
Februari 20, 2024 23:45 MYT
MELAKA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pemimpin sekarang diingatkan supaya tidak bersikap rakus, angkuh dan gelojoh sebagaimana pegawai-pegawai dari negara penjajah suatu masa dahulu.
Beliau berkata sikap berkenaan tidak patut ada dalam diri pemimpin zaman sekarang jika mereka benar-benar ikhlas mahu membina Malaysia ke arah lebih baik.
"Kita tahu kita tak akan ada di sini mengecapi nikmat kemerdekaan kalau tidak kerana jasa tokoh-tokoh besar kita dahulu yang sanggup menggadai nyawa, harta benda untuk mencapai kemerdekaan untuk negara kita.
Ini juga peringatan kepada pemimpin-pemimpin yang memikul amanah sekarang supaya belajar daripada elemen dan ciri yang positif dan baik daripada mereka (pemimpin terdahulu) dan tidak terheret dengan amalan kerasukan, keangkuhan, kegelojohan, pegawai-pegawai penjajah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan Hari Ulang Tahun Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu ke-68 di Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir di sini malam ini.
Hadir sama Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing.
Beliau berkata justeru bagi mengenang jasa pemimpin terdahulu, generasi penerus harus berusaha sedaya upaya untuk mengangkat martabat negara ke peringkat lebih tinggi.
"Generasi penerus, harus berusaha sedaya upaya kita, mengangkat martabat negara, membangun ekonomi, meneruskan mutu pendidikan dan kesihatan, bawa pelancong dan industri (datang melabur) supaya rakyat boleh hidup dengan lebih selesa.
Dan inilah komitmen kita sementara kita berasa terharu dan tersentuh hati nurani kita kerana kita adalah generasi yang kenang jasa," katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata ketika Perlembagaan negara dilihat memberi keistimewaan kepada orang Melayu namun dalam masa yang sama undang-undang tertinggi negara juga tidak menyisihkan kaum lain yang bersama-sama memperjuangkan kemerdekaan negara.
"Sebab itu dalam melakar Perlembagaan negara oleh pemimpin-pemimpin ketika itu, ditetapkan kedudukan Bahasa Melayu, agama Islam (sebagai) agama Persekutuan, hak keistimewaan (orang) Melayu dan kedaulatan Raja-raja Melayu, tapi tidak pernah disebut maksud untuk meremehkan hak orang lain, merendahkan darjat orang lain atau menghina mereka (kaum bukan Melayu).
Kerana mereka diiktiraf sebagai warganegara yang sah yang bersama dalam Tanah Melayu dalam memperjuangkan kemerdekaan... ini pengajaran yang penting bagi negara kita," katanya.
-- BERNAMA