Pemimpin Sabah ucap takziah pemergian ADUN Bugaya
Bernama
November 17, 2020 18:09 MYT
November 17, 2020 18:09 MYT
KOTA KINABALU: Pemimpin Sabah hari ini mengucapkan takziah kepada keluarga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bugaya Datin Manis Muka Mohd Darah, yang meninggal dunia hari ini.
Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, beliau mendoakan agar roh Manis Muka, 65, dipelihara dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman.
"Saya bersama isteri dan keluarga serta seluruh ahli Parti Warisan Sabah, khususnya penggerak awal parti mengucapkan salam takziah kepada suami, anak-anak dan keluarga atas pemergian insan tersayang, Allahyarhamah Manis Muka," katanya menerusi kenyataan ringkas hari ini.
Manis Muka, 65, dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Hospital Gleneagles Kota Kinabalu di sini malam tadi akibat masalah buah pinggang, namun dilaporkan meninggal dunia di hospital itu tengah hari tadi.
Sementara itu, bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman mendoakan agar keluarga Allahyarhamah tabah dalam menghadapi dugaan tersebut.
"Sama-sama kita doakan agar roh ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman," kata Musa.
Setiausaha Agung Parti Warisan Sabah Loretto Padua berkata, Allahyarhamah merupakan pemimpin yang suka membantu rakyat tanpa mengira latar belakang dan merupakan satu kehilangan besar buat parti itu.
"Rakyat di kawasan kehilangan seorang pemimpin yang baik. Bagi pihak Warisan, saya mengucapkan takziah," katanya.
Dalam pada itu cubaan petugas media menghubungi ahli keluarga Manis Muka tidak berhasil dan difahamkan keluarganya akan memberikan kenyataan media mengenai pemergian Allahyarham.
Petugas media yang hadir ke Hospital Gleneagles Kota Kinabalu hari ini diminta beredar bagi memberi ruang kepada keluarga Allahyarham dan atas faktor keselamatan ketika pandemik COVID-19 masih menular.
-- BERNAMA
#Shafie Apdal
#Musa Aman
#Mohd Shafie Apdal
#Bugaya Datin Manis Muka Mohd Darah
#Presiden Parti Warisan Sabah
#Loretto Padua b