Pemimpin politik giat melobi 'kejar' Ijazah Kehormat Doktor Falsafah?

Astro Awani
Oktober 22, 2021 12:51 MYT
Tindakan itu akan memalukan universiti dan cendekiawan kerana individu itu dikatakan menjadi punca perpecahan umat Islam dan Melayu. - Gambar hiasan/Unsplash
KUALA LUMPUR: Seorang pemimpin besar sebuah parti politik dilapor giat melobi dirinya supaya dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (PhD) Pengajian Islam.
Memetik laporan portal Malaysia Dateline, tindakan melobi itu didakwa dilakukan secara agresif oleh pejabat seorang menteri besar bagi membolehkan pemimpin mereka mendapat anugerah itu.
"Memang kuat mereka melobi untuk mendapat Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Pengajian Islam.
"Mereka melobi direct (secara terus) kepada dekan," kata satu mesej yang tular di media sosial, seperti dilapor portal tersebut.
Malah, sumber yang mengesahkan perkara tersebut berkata tindakan itu akan memalukan universiti dan cendekiawan kerana individu itu pernah dikatakan menjadi punca perpecahan umat Islam dan Melayu.
"Walhal untuk ijazah kehormat ini kena ada pencalonan dan penilaian yang ketat manakala dekan pula perlu membacakan fakta-fakta dan mempertahankan kenapa anugerah ini diberikan," kata sumber itu.
Antara tokoh-tokoh besar yang pernah mendapat anugerah doktor kehormat pengajian Islam ini adalah Sheikh Idris Al Marbawi dan Profesor Datuk Dr Abdul Shukur Hussin, bekas Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan.
#Ijazah Kehormat Doktor Falsafah #lobi politik #campur tangan politik #anugerah kehormat universiti
;