Pemimpin PKR Johor disiasat di bawah Akta Hasutan

Astro Awani
September 13, 2014 13:30 MYT
Seorang peguam di Johor disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan berhubung apa yang ditulisnya di media sosial berkenaan krisis MB S'gor.
Seorang peguam juga aktivis masyarakat di Johor disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan berhubung apa yang ditulisnya di akaun media sosialnya berkenaan krisis menteri besar Selangor, menurut portal berita The Malaysian Insider.
Naib Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor yang juga bekas Presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hassan Karim disiasat di bawah akta tersebut atas dakwaan mengeluarkan kenyataan yang dikatakan menghina Sultan Selangor.
“Ia berkaitan pandangan saya berhubung constitution (perlembagaan), tentang isu menteri besar Selangor, dalam Twitter dan Facebook baru-baru ini,” katanya yang dipetik daripada portal berita tersebut.
Menurutnya, lima anggota polis dari Shah Alam, Selangor diketuai ASP Faiziah telah datang ke rumahnya di Pontian, Johor tengah hari semalam dan merampas komputer riba serta telefon bimbit miliknya.
Hassan yang sebelum ini dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Shah Alam pada 29 Ogos lalu bagaimanapun bertegas tidak akan tunduk walaupun siasatan dibuat ke atasnya.
Pendakwaan terhadap Hassan adalah susulan rentetan pendakwaan lain di bawah akta sama antaranya melibatkan Adun Pulau Pinang, R S N Rayer; Ahli Parlimen Padang Serai N Surendran (PKR); ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad; pendakwah bebas Wan Ji Wan Hussein; profesor undang-undang Universiti Malaya Dr Azmi Sharom; ahli politik Sabah David Orok; dan terbaharu peguam hak asasi manusia Edmund Bon.
Jika didapati bersalah, mereka boleh disaman sehingga RM5,000 atau dipenjarakan maksimum tiga tahun, ataupun kedua-duanya, manakala wakil rakyat pula bakal hilang jawatan jika dijatuhi hukuman RM2,000 atau lebih, ataupun dipenjara sekurang-kurangnya setahun.
#akta hasutan #Hassan Karim #Johor
;