Pemimpin perlu komited capai SDG - Wan Azizah
Faida Rahim
Julai 10, 2023 21:48 MYT
Julai 10, 2023 21:48 MYT
KUALA LUMPUR: Negara perlu memastikan mempunyai pemimpin yang komited dalam mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) sebagaimana ditetapkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memaklumkan, agama turut memainkan peranan dalam hal itu selain menjadi kesalahan kepada seseorang pemimpin yang mengetepikan komitmen.
“Dunia menyaksikan banyak krisis dan skandal yang membawa kepada kesan menyakitkan disebabkan kegagalan kepimpinan. Kita mengharapkan pemimpin kita membuat lebih baik dan membantu negara mencapai lebih banyak kejayaan. Namun, seringkali kita melihat situasi di mana pemimpin kita yang mengecewakan.
"Dalam agama Islam, melanggar janji merupakan salah satu dosa yang besar. Oleh itu, mengabaikan komitmen adalah satu dosa. Komitmen tidak boleh sekadar berkait dengan petunjuk prestasi utama (KPI). Ia harus melebihi itu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di pelancaran Pusat Kepimpinan dan Pembangunan Profesional Universiti Malaya (UMLEAD) dan Program Kepimpinan Berprinsip di Dewan Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya pada Isnin.
Dalam pada itu, Azizah turut mempersoalkan kekerapan komitmen diletakkan dalam menyokong matlamat SDG dimasukkan ke dalam KPI sesebuah organisasi.
"Sekiranya ada, kebiasaanya ia berbentuk KPI yang dikaitkan dengan tanggungjawab sosial korporat (CSR). Malangnya, banyak daripada aktiviti CSR merupakan acara tahunan yang mempunyai impak yang sedikit. Kita boleh lakukan ini dengan lebih baik," katanya.