Pemimpin perlu jadi ikon martabatkan bahasa Melayu - Pakar

Hilmi Malik
November 30, 2021 18:30 MYT
Usaha untuk menguasai bahasa Melayu perlu diterapkan oleh semua masyarakat dan perkara ini boleh dilaksanakan menerusi program-program pidato yang menggunakan seni bahasa kebangsaan. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR : Golongan pemimpin seharusnya menjadi ikon terhadap matlamat meningkatkan taraf bahasa Melayu.
Dalam masa sama, usaha meletakkan bahasa kebangsaan setaraf dengan bahasa dunia lain juga bergantung kepada individu, kata Pakar Psikologi Bahasa Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof Madya Jessica Ong Hai Liaw.
Bahkan, tegas beliau, seseorang individu tidak seharusnya berasa malu untuk berkomunikasi di dalam bahasa Melayu sebaliknya, berbangga dengan keupayaan tersebut yang jelas menunjukkan identiti Malaysia.
“Saya ingin ucapkan tahniah kepada pemimpin yang berucap menggunakan bahasa Melayu kerana kita perlukan ikon pemimpin yang lebih ramai untuk angkat martabat bahasa Melayu,” katanya kepada Astro AWANI pada Selasa.
Dalam masa sama, Jessica menegaskan, usaha untuk menguasai bahasa Melayu perlu diterapkan oleh semua masyarakat dan perkara ini boleh dilaksanakan menerusi program-program pidato yang menggunakan seni bahasa kebangsaan.
“Kita mengaku sebagai rakyat Malaysia, kita mempunyai MyKad sebagai warganegara Malaysia akan tetapi kita tidak mampu menguasai penggunaan bahasa Melayu… maka bagaimana untuk kita buktikan sebagai rakyat Malaysia?” soal beliau lagi.
Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membuat teguran terhadap agensi kerajaan termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta di negara ini yang lebih mengutamakan bahasa Inggeris bagi sesebuah majlis.
Menurut Ismail Sabri, penggunaan bahasa Melayu perlu menjadi keutamaan bagi setiap program yang berlangsung pada masa depan.
#rakyat Malaysia #Perdana Menteri #Bahasa Melayu #kerajaan
;