Pemimpin perlu ikhlas, letak kepentingan negara melebihi kepentingan sendiri - Tuanku Muhriz
Bernama
Januari 14, 2023 13:10 MYT
Januari 14, 2023 13:10 MYT
KUALA PILAH: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah pemimpin yang diberikan mandat oleh rakyat perlu mempunyai keikhlasan tinggi untuk berkhidmat demi rakyat dan meletakkan kepentingan negara melebihi kepentingan sendiri.
Baginda bertitah ini kerana konflik dan budaya politik yang sempit secara berterusan hanya akan memperlihatkan Malaysia sebagai sebuah negara yang tidak stabil dan rapuh.
"Walaupun dalam kalangan kita wujud perbezaan agenda dan ideologi, namun beta yakin tentu ada persamaan terutama dalam agenda pembangunan dan kebajikan rakyat bagi membentuk negara yang lebih makmur," titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat bersempena Hari Keputeraan Ke-75 baginda di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti, dekat sini, hari ini.
Turut berangkat ke majlis itu, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud.
Tuanku Muhriz bertitah momentum pemulihan ekonomi Negeri Sembilan pada 2021 dilihat terus ampuh dengan pertumbuhan positif tiga peratus berbanding rekod penyusutan pada tahun sebelumnya, menerusi usaha proaktif kerajaan negeri menangani cabaran pasca COVID-19 serta penyusunan strategi bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi secara inklusif.
Tuanku Muhriz turut mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri kerana berjaya merekodkan pencapaian jumlah kutipan hasil yang begitu baik iaitu RM521 juta sepanjang 2022, melebihi sasaran awal sebanyak RM432 juta.
Namun titah baginda dalam kelegaan menikmati pertumbuhan ekonomi negeri yang semakin baik, prospek ekonomi dunia pada tahun ini dijangka suram serta bakal mengalami kelembapan, dengan Malaysia turut tidak terkecuali daripada terkena tempias ketidaktentuan ekonomi global.
Baginda turut menyeru kepada semua sektor awam untuk meningkatkan lagi kecekapan tadbir urus, sistem penyampaian dan pengurusan serta menambah baik penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Seramai 540 individu menerima darjah kebesaran, bintang dan pingat sempena Hari Keputeraan ke-75 baginda hari ini dengan bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan Datuk Razali Ab Malik dan Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan Datuk Dr Abdul Aziz Sheikh Abdul Kadir mendahului senarai penerima.
Kedua-dua mereka dianugerahkan Darjah Seri Setia Negeri Sembilan Yang Amat Cemerlang (SSNS) yang membawa gelaran Datuk Seri.
Istiadat pengurniaan darjah kebesaran Negeri Sembilan berlangsung dalam tiga sesi dengan sesi pertama pada hari ini melibatkan 109 penerima, sesi kedua pada 31 Jan dan sesi ketiga 7 Feb.
-- BERNAMA