Pemimpin perlu berani ambil keputusan sukar - Ibrahim Ali

Hafiz Marzukhi
Mei 29, 2016 20:07 MYT
IBRAHIM: "Ada cadangan kita yang diterima serta dilaksanakan. Namun, ada juga cadangan yang dibiarkan sahaja." - Filepic
Pemimpin yang bertanggungjawab harus berani membuat keputusan yang sukar, kata Presiden Persatuan Peribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali hari ini.
Katanya, keputusan itu termasuk sedia untuk mengorbankan diri jika ia memberi kebaikan buat negara.
"Keadaan politik sudah berbeza kini. Ia tidak sama seperti sebelum ini," kata Ibrahim dalam satu temubual eksklusif bersama Astro AWANI.
Tambah beliau, dengan masalah ekonomi dunia, rakyat di Malaysia semakin terbeban dengan kos sara hidup.
"Bukan sekadar tekanan ekonomi, rakyat terpaksa berhadapan dengan krisis kepimpinan yang berlarutan dalam negara ini," katanya lagi.
Sebagai badan bukan kerajaan (NGO), Ibrahim berkata, Perkasa hanya mampu memberi cadangan serta desakan untuk sesetengah isu.
"Ada cadangan kita yang diterima serta dilaksanakan. Namun, ada juga cadangan yang dibiarkan sahaja," kata bekas ahli Parlimen Pasir Mas itu.
Oleh itu, beliau berpendapat, cara penyelesaian terbaik untuk masalah yang membelenggu negara terletak di tangan pihak yang berkuasa.
"Sebab itu, ada yang menyatakan, pemimpin yang hebat adalah mereka yang sedia berkorban demi negara," kata Ibrahim.
#Ibrahim Ali #pemimpin bertanggungjawab
;