Pemimpin parti politik sedih dengan pemergian Salahuddin

Bernama
Julai 23, 2023 01:01 MYT
Salahuddin menghembuskan nafas terakhir pada 9.23 malam di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah. - Gambar FB Salahuddin Ayub
KUALA LUMPUR: Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub yang meninggal dunia malam Ahad.
Muhyiddin, yang juga Pengerusi Perikatan Nasional, mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh.
"Saya merasa dukacita mendengar perkhabaran ini dan berdoa semoga seluruh ahli keluarga Allahyarham dapat bersabar dan tabah melalui detik mendukacitakan ini," katanya dalam catatan di laman Facebook.
Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang, menerusi laman Facebook, turut mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham.
"Semoga Allah mengampunkan segala dosanya dan mencucuri rahmat ke atasnya," kata beliau.
Pengerusi DAP Lim Guan Eng pula menyifatkan ketokohan dan jasa Salahuddin menyemai benih harapan untuk masa depan negara.
"Tidak terungkap kesedihan dengan pemergian sahabat dan rakan seperjuangan saya saudara Salahuddin Ayub. Salam takziah untuk keluarga beliau, semoga sabar menghadapi ujian ini," katanya.
Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut mengutuskan ucapan takziah kepada keluarga Salahuddin sambil berterima kasih atas usaha dan keringat Allahyarham ketika berkhidmat untuk negara.
"Semoga beliau ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman," katanya.
Salahuddin, 61, menghembuskan nafas terakhir pada 9.23 malam di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah.
-- BERNAMA
#PAS #Facebook #DAP #Salahuddin Ayub
;