Pemimpin parti dalam Majlis Presiden PN puas hati penjelasan mengenai Ordinan Darurat - PM
Astro Awani
Januari 24, 2021 23:23 MYT
Januari 24, 2021 23:23 MYT
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini memaklumkan, kesemua pemimpin dalam Majlis Presiden Kerajaan Perikatan Nasional (PN) berpuas hati dengan penjelasan dan perbincangan terperinci mengenai Ordinan Darurat.
Beliau yang mempengerusikan mesyuarat tersebut secara atas talian berkata, turut dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan ialah pengurusan darurat serta pengurusan pandemik Covid-19 dan pelan immunisasi vaksin yang akan bermula pada bulan Februari depan.
“Saya bersyukur bahawa mesyuarat yang berlangsung selama lebih kurang 2 jam dalam suasana akrab dan muhibah telah menyambut baik taklimat mengenai Proklamasi Darurat dari YB Dato Takiyuddin Hassan Menteri di Jabatan Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), YBhg Tan Sri Mohd Zuki Ali Ketua Setiausaha Negara dan YBhg Dato Dr Norhizan Ismail Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook rasminya, pada Ahad malam.
Jelas Muhyiddin, mesyuarat tersebut telah disertai oleh 12 presiden-presiden parti dari Bersatu, UMNO, Pas, PBB, MCA, MIC, PRS, SUPP, PDP, PBS, STAR dan SAPP manakala PBRS diwakili Timbalan Presiden parti.
“Majlis Presiden akan terus menjadi platfom perbincangan tertinggi bagi kesemua parti politk dalam Kerajaan Perikatan Nasional demi memastikan kestabilan politik dan kelancaran pentadbiran Kerajaan serta menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat dan negara,” katanya lagi.
#pemimpin parti
#Ordinan Darurat
#Perikatan Nasional
#puas hati
#darurat
#COVID-19
#Perdana Menteri
#Muhyiddin Yassin
#pelan imunisasi vaksin
#Proklamasi Darurat