Pemimpin negara ucap takziah atas kemangkatan Sultan Ismail Petra

Bernama
September 28, 2019 14:14 MYT
Sultan Ismail Petra, 69, ayahanda Sultan Kelantan Sultan Muhammad V, mangkat di Wad Diraja Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu pukul 8.11 pagi Sabtu.
PARA pemimpin negara hari ini menzahirkan ucapan takziah di atas kemangkatan Sultan Kelantan ke-28 Sultan Ismail Petra awal pagi ini.
Ucapan dizahirkan menerusi platform Twitter dan Facebook.
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam ciapan di Twitter mendoakan semoga Al-Marhum memperoleh husnul khatimah dan rohnya dicucuri rahmat Allah SWT.
'Merafak sembah takziah kepada KDYMM Sultan Muhammad V dan seluruh rakyat Negeri Kelantan atas kemangkatan DYMM Sultan Ismail Petra Ibni Al-Marhum Al-Sultan Yahya Petra. Semoga Al-Marhum memperoleh husnul khatimah dan rohnya dicucuri rahmat Allah SWT,' katanya.
Sultan Ismail Petra, 69, ayahanda Sultan Kelantan Sultan Muhammad V, mangkat di Wad Diraja Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu pukul 8.11 pagi ini.
Pengumuman kemangkatan Baginda dibuat oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob di Kota Darul Naim, Kota Bharu.
Turut merafak sembah takziah adalah Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.
"Innalillahiwainnailaihirajiun. Merafak sembah takziah atas kemangkatan Almarhum Sultan Ismail Petra ibni Almarhum Sultan Yahya Petra pada pagi ini. Semoga rohnya dicucuri rahmat serta ditempatkan bersama mereka yg beriman. Al-Fatihah," kata Mohamad.
BACA: Sultan Ismail Petra mangkat
Sementara itu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pula berkongsi catatan daripada Twitter Bernama berkenaan berita kemangkatan itu.
"Merafak sembah takziah dengan penuh takzim atas kemangkatan Sultan Ismail Petra pada pagi ini. Semoga roh Almarhum dicucuri rahmat," kata Lim dalam ciapan beliau.
Selain itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismai juga tidak ketinggalan merakamkan ucapan takziah atas kemangkatan Almarhum Sultan Ismail Petra.
"Al Fatihah. Merafak sembah takziah atas kemangkatan KDYMM Sultan Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra. Semoga roh Almarhum dicucuri rahmat," katanya.
Antara menteri kabinet yang turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Almarhum Sultan Ismail Petra ialah Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar.
"Patik merafak sembah takziah kepada KDYMM Sultan Muhammad V, keluarga, ahli-ahli kerabat diraja dan seluruh rakyat Kelantan atas kemangkatan KDYMM Sultan Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra," katanya.
Perasaan sedih dan ucapan takziah turut dizahirkan daripada pemimpin lain antaranya Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad, Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil.
"Inna Lillahi wa inna ilayhi raji'un. Merafak sembah takziah kepada KDYMM Sultan Muhammad V, keluarga, ahli-ahli kerabat diraja dan seluruh rakyat Kelantan atas kemangkatan Sultan Ismail Petra. Semoga roh Almarhum dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman," kata Anwar yang juga Presiden PKR. - BERNAMA
#mangkat #Sultan Ismail Petra #Sultan Kelantan
;