Pemimpin mesti bijak, leraikan pergeseran antara rakyat - Sultan Kedah

Abdul Hadi Che Awang
Ogos 5, 2019 12:32 MYT
Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan menerima titah ucapan daripada Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir pada Majlis Perasmian Persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah ke-14 hari ini. - Foto Bernama
Penggunaan media sosial secara tidak berhemah dilihat menjadi punca berlakunya keretakan silaturrahim dan perpecahan perpaduan antara rakyat dalam era globalisasi dan permodenan ketika ini.


Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah, semua pemimpin harus mengamalkan sifat bijak dalam membimbing dan memimpin rakyat untuk mengelakkan mereka bergeseran sesama sendiri selain mempertahankan kerukunan hidup aman damai yang subur dalam kalangan masyarakat.


Tambah baginda, pihak kerajaan juga harus memastikan fahaman ekstrem harus dibendung dari awal bagi memastikan negeri kedah terutamanya, kekal aman dan sejahtera..


Sultan Sallehuddin turut menasihati pemimpin terutama di peringkat negeri agar mendengar keluhan dan rintihan rakyat selain berfikir di luar kotak untuk bersama sama membangunkan negeri Kedah.


"Beta berasa dukacita, penyatuan umat yang sekian lama mewujudkan suasana harmoni kini berada dalam keadaan yang membimbangkan, akibat daripada pelbagai faktor yang muncul, seiring dengan kehadiran globalisasi dan kemodenan, penggunaan media sosial secara tidak berhemah juga mula meretakkan silaturrahim dan menimbulkan prasangka yang sering berakhir dengan pertelingkahan.
“Oleh itu para pemimpin harus bijak, dalam membimbing rakyat bagi mengelak sikap sangsi bersangka buruk yang mengakibatkan pergeseran dan perpecahan," titah baginda ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Sidang Dewan Undangan Negeri Kedah, di Wisma Darul Aman, pada Isnin.


Dalam perkembangan sama, Sultan Sallehuddin turut berharap kesemua pemimpin di pelbagai lapisan pentadbiran, agar sentiasa menjalankan tanggungjawab dengan penuh integriti agar ianya menjadi pemangkin dalam menggerakkan kemajuan negeri dan masyarakat.

#idang Dewan Undangan Negeri Kedah #integriti #Kedah #kerajaan #media sosial #perpaduan #rakyat #Sultan Kedah #Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah #Wisma Darul Aman
;