Pemimpin masyarakat setempat perlu kerjasama sekat aktiviti sebar ajaran sesat

Bernama
April 7, 2024 05:40 MYT
Mohd Sukki berkata, pemimpin setempat seperti ketua kampung dan persatuan penduduk berperanan penting dalam usaha menyekat sebarang aktiviti penyebaran ajaran sesat secara tuntas di peringkat akar umbi.
KUALA LUMPUR: Pemimpin masyarakat setempat perlu bekerjasama dan bersatu dalam usaha membanteras aktiviti penyebaran ajaran sesat di kawasan masing-masing agar perkara itu dapat dibendung dengan berkesan.
Ahli Jawatankuasa Pengawalan Akidah Majlis Agama Islam Selangor, Prof Madya Mohd Sukki Othman berkata, pemimpin setempat seperti ketua kampung dan persatuan penduduk berperanan penting dalam usaha menyekat sebarang aktiviti penyebaran ajaran sesat secara tuntas di peringkat akar umbi.
"Kerana ia (ajaran sesat) tidak membawa kebaikan, bahkan merosakkan pemikiran umat, sistem sosial dan sebagainya. Jadi, ini termasuk dalam Amar Makruf Na'hi Mungkar ia merupakan satu kewajiban khususnya dalam komuniti masyarakat.
"Jadi, kesepaduan ini perlu untuk kita pastikan supaya ajaran sesat seumpama ini dapat dibanteras dengan lebih efisien dan berkesan di samping usaha meningkatkan pengetahuan ilmu akidah berpandukan al-Quran dan As-Sunnah," katanya ketika dihubungi Bernama pada Ahad.
Mohd Sukki berpandangan, keadaan dunia yang tidak menentu ketika ini juga menjadi faktor yang membuka ruang kepada individu tertentu menyebarkan ajaran sesat demi kepentingan peribadi.
"Ajaran sesat ini kalau mengikut pemimpinnya, mereka memang ada agenda kepentingan diri iaitu untuk mendapat kekayaan, kuasa, pangkat, kedudukan mahupun dihormati .... maka, ilmu itu penting untuk menangani masalah seumpama ini," katanya.
Terdahulu, Mufti Pahang, Prof Datuk Asmadi Mohamed Naim mengingatkan masyarakat Islam perlu berwaspada dan menolak ajaran sesat seperti fahaman Khawarij, Takfiri dan apa sahaja ajaran yang menyeleweng.
Mengulas mengenai bagaimana timbulnya ajaran sesat, Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin berkata, ia disebabkan daripada ajaran-ajaran tarekat yang begitu memuja guru-guru mereka sehingga dianggap suci dan mempunyai keistimewaan boleh berhubung langsung dengan Allah.
"Ajaran ini tersebar disebabkan mereka menolak asas agama iaitu Islam ini hendaklah bersumberkan al-Quran dan As-Sunnah. Mereka ini menjadikan sumber mereka mimpi-mimpi, cerita keajaiban guru, khurafat, tahyul dan segala macam kisah yang tidak masuk akal yang mereka kaitkan dengan wali.
"Penyakit ini sedang merebak di Malaysia juga. Mereka akan kata ini semua pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah aliran Ashairah dan Maturidiyyah. Atas tiket itu, mereka menghalalkan karut-marut dan khurafat," katanya.
Malah, Mohd Asri berkata, ajaran al-Arqam juga dilihat kembali dihidupkan kebelakangan ini yang menjadi punca dakwaan karut dibuat kononnya seseorang itu menerima arahan langsung daripada Allah, Nabi Muhammad atau wali. - BERNAMA
#ajaran sesat #pemimpin masyarakat setempat #ketua kampung #Penduduk #Mohd Sukki Othman
;