Pemimpin Malaysia takut cetus perubahan, mahu kekal di tampuk selesa - Jahaberdeen

Israr Khalid
Januari 4, 2022 11:30 MYT
Kalaupun perubahan dibuat, banyaknya bersifat kosmetik dan tidak mendalam. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Pengerusi Yayasan RAPERA, Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos merasakan tiada pemimpin di Malaysia ini yang berwawasan jauh dan berani untuk melakukan perubahan yang baik untuk negara meskipun ada antaranya yang tidak popular.
Katanya, pemimpin hari ini secara amnya lebih suka untuk kekal berada tampuk selesa kerana khuatir kedudukan mereka akan diganggu dan terlepas dari pegangan.
Oleh kerana itu, jelas Jahaberdeen, orang politik terus mengekalkan sistem politik yang ada sekarang untuk kepentingan mereka lebih daripada untuk rakyat dan negara.
“Kalau anda ‘average-minded’ atau berfikiran purata, segala-galanya anda rasa sebagai risiko, anda takut mengganggu anda punya zon selesa dan sebagainya.
“Kalaupun mereka buat perubahan, ia sedikit sahaja, kosmetik, tetapi mereka akan terus berada di situ.
“Adakah kita benar-benar ikhlas percaya bahawa ada orang politik yang akan membawa reformasi dan perubahan dalam negara? Minta maaflah," katanya.
Memang sukar untuk mengambil risiko, apabila seseorang itu memikirkan tentang wang, kuasa dan jenteranya yang akan diperjudikan.
Kita rakyat tiada apa, kata beliau, selain daripada sesama kita yang tegasnya perlu bersatu berganding bahu dalam semua hal termasuklah pengundian dalam pilihan raya, tempat dan ketikanya di mana kita berkuasa untuk menaikkan atau menjatuhkan seseorang pemain politik secara sah.
Tonton temu bual penuh bersama Jahaberdeen dalam program Agenda AWANI yang dihoskan oleh Dzulfitri Yusop, di sini:
Pemimpin Malaysia takut cetus perubahan, mahu kekal di tampuk selesa - Dr. Jahaberdeen
Agenda AWANI: Gugurkan menteri prestasi buruk
#Agenda Awani #Pemimpin Negara #politik #rakyat
;