Pemimpin Islam isytihar deklarasi bersama tangani perubahan cuaca
Ayu Dewy Puspa
Ogos 27, 2015 08:11 MYT
Ogos 27, 2015 08:11 MYT
Timbalan Ketua Pengarah IKIM, Prof Datuk Dr. Azizan Baharuddin berkata 20 pemimpin negara Islam sepakat mengiystiharkan deklarasi dan menggalas tanggungjawab dalam memberi kesedaran bersama tentang masalah perubahan iklim ini.
"Saya kira deklarasi ini bukan sahaja mengingatkan kita asal usul kesedaran mengenai kaitan antara agama juga dimainkan peranannya oleh sarjana Islam tetapi turut menarik perhatian dunia bahawasanya dalam dunia enviromental ini telah keluar banyak penulisan tentang bagaimana kumpulan sekular merasakan agama cara untuk merubah sikap dan perangai manusia," kata Azizan.
Tambahnya, krisis alam sekitar yang mengakibatkan bencana seperti tsunami, banjir, jerebu dan cuaca panas berpanjangan melambangkan krisis spiritual manusia masa kini dan deklarasi itu mengakui peranan penting komuniti agama lain dalam mendepani isu perubahan iklim semasa.
Menurut Azizan, pembangunan secara lestari perlu ditambah giat dan dimulakan segera kerana fitrah menerusi sains sendiri mengutamakan keseimbangan mentadbir alam sekitar.
Selain menyentuh soal penyelidikan perubahan iklim, deklarasi itu memberi tekanan kepada persidangan pertubuhan bangsa-bangsa bersatu (PBB) mengenai perubahan iklim untuk menetapkan matlamat yang jelas.
Antara lain, mereka meminta negara-negara kaya dan pengeluar minyak untuk mengurangkan pembebasan gas rumah kaca dan menghentikan sama sekali produksi bahan bakar fosil pada tahun 2050.
Seruan itu juga meminta semua negara mengalih 100 peratus kebergantungan kepada bahan bakar yang boleh diperbaharui dan menyusun strategi pembebasan gas sifar.
Deklarasi menangani perubahan iklim ini telah ditandatangani di Istanbul, Turki pada 18 Ogos lepas.