Pemimpin 'heavyweight' BN sertai Tun M, bantah penahanan SOSMA
Astro Awani
Oktober 12, 2015 11:15 MYT
Oktober 12, 2015 11:15 MYT
Beberapa pemimpin 'heavyweight' Barisan Nasional hari ini bersama-sama bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengadakan sidang media menentang penahanan bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya Matthias Chang.
Antara yang hadir adalah Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Shafie Apdal dan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah, bekas Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Sanusi Junid dan bekas presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat.
Dr Mahathir meminta untuk membebaskan kedua-dua individu tersebut secepat mungkin.
"Kerajaan perlu bertindak dengan melepaskan mereka. Jangan tahan sesiapa di bawah SOSMA sebab itu bukan hakikat yang sebenar. SOSMA adalah pengganas. Adakah anda rasa Khairuddin dan Matthias adalah pengganas," soal Dr Mahathir dalam sidang media berlangsung di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, hari ini.
MESTI BACA: 10 fakta anda perlu tahu tentang SOSMA
Dr Mahathir menyifatkan Khairuddin hanya melaporkan kekeliruan yang berlaku dalam kerajaan.
Hari ini, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur telah menetapkan 23 Oktober untuk sebutan semula kes yang melibatkan Khairuddin dan Matthias untuk pihak pendakwa raya mengumpul bukti bagi meneruskan dakwaan terhadap kedua-dua individu tersebut di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas 2012), SOSMA.
Kedua-dua mereka didakwa sengaja melakukan tindakan dianggap menjejaskan perbankan negara dan perkhidmatan kewangan.
Khairuddin sebelum ini, direman selama enam hari mulai 19 September mengikut Seksyen 124C Kanun Keseksaan atas dakwaan cuba melakukan aktiviti yang boleh menjejaskan demokrasi berparlimen.
Pada 23 September, Khairuddin ditahan semula di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di bawah SOSMA atas dakwaan cuba melakukan aktiviti yang boleh mensabotaj negara.
Matthias ditahan 8 Oktober lalu selepas melawat anak guamnya, Khairuddin di balai polis Dang Wangi.
Beliau dipercayai masih meneruskan mogok lapar bagi membantah penahanannya.
BACA: TI-M kecam tindakan ke atas 'whistleblower'