Pemimpin GLC perlu ada IQ, EQ dan SQ - Akhbar Satar

Astro Awani
Mei 31, 2021 09:32 MYT
Kata Akhbar, kerajaan perlu mengikut model pemimpin syarikat luar negara yang mampu bertahan sehingga 20 atau 30 tahun lama dalam memimpin kerana sentiasa amanah dalam menjalankan tugas. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Seseorang pemimpin perlu mempunyai kecerdasan intelek (IQ), kecerdasan emosi (EQ) dan kecerdasan spiritual (SQ) yang tinggi sebelum dilantik memegang mana-mana syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di negara ini.
Presiden Persatuan Pemeriksa Penipuan Bertauliah Malaysia (ACFE) Datuk Seri Akhbar Satar berkata, tujuan penubuhan GLC adalah untuk menambah pendapatan kerajaan, bukan mengaut keuntungan peribadi semata-mata.
"Jadi, itu sebabnya, hendaklah kita pastikan bahawa apabila hendak memilih ahli politik, kita tidak ada pilihan, sudah tentu kita pastikan mereka benar-benar mempunyai kelulusan.
"Kedua dari segi integriti, merit. Dan, pastikan mereka ini adalah pakar dalam bidang-bidang tertentu, bukan kita melantik mereka untuk kepentingan politik, untuk kekuatan politik.
"Jadi satu perkara yang perlu dinyatakan ialah, umpama you scratch my back and I'll scratch yours.
"Sudah tentu jika sekiranya kita melantik seorang ahli politik yang memang hendak gaji dan mempergunakan GLC serta memperkayakan diri, ia akan merugikan GLC dan kerajaan serta memberi impak yang tidak baik kepada syarikat.
"Kebanyakannya rugi dan ada impak negatif," katanya kepada Astro AWANI menerusi satu sidang video hari ini.
BACA: Jawatan di GLC bukan habuan untuk orang politik semata-mata - Jeniri Amir
BACA: Perkhidmatan Tajuddin sebagai Pengerusi Prasarana ditamatkan serta-merta
BACA: Perlu ada akta larang wakil rakyat jadi pengerusi GLC/ GLIC - Bersih 2.0
Sebelum ini, Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, wajar untuk GLC bebas daripada pengaruh politik bagi memastikan pakar atau profesional dalam bidang berkaitan dilantik menerajui syarikat kerajaan itu.
Selain itu, katanya, ia bagi mengelak atau meminimumkan konflik kepentingan dan Jawatankuasa Pilihan Parlimen harus diberi tanggungjawab menilai setiap pelantikan berdasarkan kelayakan.
Dalam pada itu, kata Akhbar, kerajaan perlu mengikut model pemimpin syarikat luar negara yang mampu bertahan sehingga 20 atau 30 tahun lamanya kerana sentiasa amanah dalam menjalankan tugas.
Sebaliknya, beliau menyifatkan Malaysia sebagai antara negara yang 'abnormal' yang melantik kebanyakan ahli politik untuk memegang GLC.
#GLC #Parlimen #Rasuah #integriti #IQ #SQ #EQ #konflik kepentingan #Akhbar Satar #Jais Abdul Karim #jawatankuasa pilihan parlimen #kelayakan #merit #pemimpin #pengaruh politik #keuntungan peribadi #syarikat berkaitan kerajaan
;